Beckham dianugerah Darjah Kesatria
LONDON – Bekas pemain bola sepak, David Beckham, dianugerahkan Darjah Kesatria yang membawa gelaran ‘Sir’ oleh Raja Charles di Istana Windsor, hari ini.
Bekas kapten skuad kebangsaan berusia 50 tahun itu menerima anugerah berprestij itu lebih 20 tahun selepas dianugerahkan penghormatan diraja lain atas jasanya dalam bola sepak dan juga kerja amalnya, lapor Reuters.
Beckham yang juga peminat setia institusi diraja Britain, tampil segak dalam sut rekaan isterinya, Victoria Beckham, pereka fesyen yang juga bekas anggota kumpulan pop terkenal Spice Girls.
Beckham turut meluahkan rasa bangga dengan pengiktirafan bersejarah itu.
“Saya sangat berbangga menerima penghormatan ini. Saya dibesarkan dalam keluarga sederhana di East End, London, dengan cita-cita mahu menjadi pemain bola sepak profesional dan kini saya berdiri di Istana Windsor bersama institusi diraja paling berpengaruh di dunia.
“Ia tidak mungkin menjadi lebih baik daripada ini,” katanya.
Dilahirkan di timur London, Beckham membuat penampilan sulung Liga Perdana Inggeris bersama Manchester United pada 1995, dua tahun selepas menyertai kelab itu sebagai pemain remaja.
Sepanjang karier gemilangnya, beliau memenangi enam kejuaraan liga, dua Piala FA dan satu Liga Juara-Juara, sebelum meneruskan karier di Real Madrid, LA Galaxy, AC Milan dan Paris Saint-Germain.
Beckham bersara pada 2013 selepas meraih 115 penampilan bersama England, dikenali kerana sepakan percuma tepat serta hantaran silang berkualiti tinggi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
