Amaran obor-obor ‘Portuguese Man o’ War’ dikesan di perairan Mersing
MERSING – Orang ramai yang berkunjung ke pantai dan menjalankan aktiviti sukan air di perairan Mersing dinasihatkan supaya lebih berwaspada susulan kehadiran obor-obor beracun dikenali sebagai Portuguese Man o’ War yang dikesan di kawasan berkenaan.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Johor, Rosmawati Ghazali berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan spesies berbahaya itu di perairan Mersing dan amaran awal dikeluarkan bagi mengelakkan kejadian sengatan yang boleh membawa komplikasi serius.
Menurut beliau, Portuguese Man o’ War atau nama saintifiknya Physalia physalis bukanlah seekor obor-obor tunggal, sebaliknya organisma koloni yang terdiri daripada beberapa polip yang saling bergantung antara satu sama lain.
“Sesungutnya boleh menjangkau sehingga sembilan meter atau lebih dan dipenuhi ribuan sel penyengat berbisa. Sengatan boleh menyebabkan kesakitan teruk, kesan melepuh dan bengkak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bisa spesies itu juga berpotensi mengakibatkan kekejangan otot, loya, kesukaran bernafas dan dalam kes jarang berlaku, komplikasi jantung atau kematian.
“Tiadanya penawar khusus (antivenom) bagi sengatan ini. Rawatan adalah tertumpu kepada pengurusan simptom dan pengurangan kesakitan.
“Mangsa yang disengat perlu segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berhampiran,” katanya lagi.
Sehubungan itu, pengunjung pantai, perenang, penyelam skuba dan individu yang menjalankan aktiviti snorkel diminta memakai pakaian perlindungan bersesuaian bagi mengurangkan risiko sengatan.
Rosmawati berkata, walaupun spesies itu lazim ditemui di Lautan Pasifik, ia sebelum ini turut dilaporkan muncul di beberapa lokasi lain termasuk Kuantan dan Pulau Tioman di Pahang, Sabah serta Thailand.
Menurutnya, kemunculan di perairan Mersing dipercayai berkait dengan arus kuat bermusim semasa Monsun Timur Laut.
Orang ramai turut diminta melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terlihat kehadiran spesies tersebut di kawasan pantai lain di Johor bagi membolehkan tindakan pemantauan segera diambil.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







