Pelaburan KMP dalam teknologi hijau pacu industri tenaga boleh baharu
KUALA LUMPUR – Kumpulan Modal Perdana (KMP), syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) mengumumkan, pelaburan strategik dalam fasiliti berteknologi hidrometalurgi yang dibangunkan oleh syarikat kitar semula bateri litium-ion terbesar di negara ini.
Pelaburan ini bertujuan meningkatkan keupayaan pemprosesan tempatan, mengurangkan pembaziran sumber kritikal dan menyokong pertumbuhan industri tenaga boleh baharu negara.
Fasiliti berkenaan mampu memproses sehingga 24,000 tan bateri terpakai setahun, termasuk bateri kenderaan elektrik.
Ketua Pegawai Eksekutif KMP, Yarham Yunus berkata, pelaburan ini bukan sekadar suntikan modal, tetapi langkah jangka panjang untuk memastikan sumber bernilai tidak terbuang dan dimanfaatkan semula bagi pembangunan ekonomi dan kemampanan negara.
“Dalam usaha menuju ekonomi berteknologi tinggi dan sasaran pelepasan karbon sifar bersih, kita mahu sumber bernilai ini digunakan semula untuk menyokong pembangunan industri hijau yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, keupayaan pemprosesan berskala besar juga mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan kimia dan teknologi hijau.
“Langkah ini membantu pengurusan sisa bateri secara sistematik, mengurangkan pencemaran alam sekitar dan memperkukuh ekonomi kitaran negara,” katanya lagi.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Econili, Jayden Goh berkata, fasiliti ini menumpukan pemulihan logam daripada bateri litium-ion terpakai, sisa logam campuran, bahan dikenali sebagai black mass dan pemprosesan semula bahan bateri.
“Hasil yang dipulihkan akan disalurkan semula ke sektor penyimpanan tenaga, termasuk Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), bagi menyokong kestabilan grid tenaga boleh baharu negara,” katanya lagi.
Pelaburan itu selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang bertujuan memperkukuh ekonomi hijau, menyahkarbonkan sektor pembuatan, serta meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui pembangunan industri tenaga boleh baharu berimpak tinggi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

