Tiada kompromi pegawai terlibat salah guna kuasa – Arthur
PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedia memberikan kerjasama penuh dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan melibatkan penahanan pegawai kanan Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkaitan isu pengurusan sisa elektronik (e-waste).
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kementeriannya mengambil maklum laporan penahanan berkenaan dan akan memastikan siasatan berjalan lancar dan dijalankan secara terperinci tanpa campur tangan.
Menurut beliau, NRES sama sekali tidak akan bertoleransi terhadap sebarang bentuk salah guna kuasa, penyelewengan atau amalan rasuah yang melibatkan mana-mana pegawai di bawah kementerian itu.
“Prinsip integriti dan tadbir urus yang baik adalah teras utama dalam memastikan kelestarian alam sekitar negara terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Ching Thoo Kim telah diarahkan bagi memastikan semua fungsi serta operasi harian Jabatan Alam Sekitar terus berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan, khususnya dalam aspek perkhidmatan kepada rakyat dan pemantauan alam sekitar.
Arthur turut mengingatkan semua pihak supaya menghormati proses undang-undang dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan pihak berkuasa.
Menurutnya, kementerian akan terus memantau perkembangan kes berkenaan dari semasa ke semasa dan tidak teragak-agak mengambil tindakan susulan di peringkat dalaman selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib), sekiranya perlu.
NRES menegaskan komitmen berterusan kementerian itu dalam memastikan pengurusan alam sekitar negara dilaksanakan secara berintegriti, berakauntabiliti dan selari dengan prinsip Malaysia MADANI.
Sebelum ini, SPRM berjaya mengesan aktiviti pengimportan e-waste secara haram, susulan risikan mendedahkan antara 2,000 hingga 3,000 kontena e-waste telah diseludup masuk ke negara ini melalui pelabuhan utama.
Susulan itu, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan timbalannya direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kompleks Mahkamah Putrajaya, di sini hari ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















