Agong terima menghadap Anwar persembah hasil Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku di sini, hari ini.
Pada sesi menghadap itu, Seri Paduka Baginda dipersembahkan mengenai hasil Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di ibu negara minggu lalu.
“Seri Paduka Baginda dipersembahkan mengenai hasil Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan mesyuarat Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di ibu negara minggu lalu,” menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan, sebanyak 80 dokumen hasil diterima dan diluluskan sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober.
Dokumen berkenaan termasuk Kenyataan Bersama Pemimpin ASEAN dengan Amerika Syarikat (AS), Jepun, India, New Zealand dan Australia hasil daripada Sidang Kemuncak ASEAN+3, Sidang Asia Timur (EAS), Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) dan Pemimpin Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Menurut PMO, satu lagi kejayaan penting ialah pemeteraian Perjanjian Damai KL antara Thailand dan Kemboja yang disaksikan Perdana Menteri dan Presiden AS, Donald Trump.
Malaysia secara rasmi menyerahkan kepengerusian ASEAN kepada Filipina, sekali gus menandakan peralihan kepimpinan ketika negara ini memasuki fasa penutup tugasnya sebagai pengerusi bagi tahun 2025.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








