Guru didakwa atas tuduhan cuba bunuh isteri
BALIK PULAU – Seorang guru didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan cuba membunuh isterinya, bulan lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Muhammad Nazmi Izzuddin Muhamad Zubairi,30, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin..
Muhammad Nazmi Izzuddin hanya menundukkan kepala sepanjang prosiding.
Pergelangan tangan kirinya juga kelihatan berbalut.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa cuba membunuh isterinya, Hanis Sofea Hamdan, 28, menggunakan sebilah pisau, dengan mengetahui bahawa perbuatan itu boleh menyebabkan kematian mangsa.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di kediaman mereka di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, dekat sini, jam 5.45 pagi, 27 Ogos lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, R Lushani manakala tertuduh diwakili peguam, Muhaimin Hashim, Yazid Khairul Azman dan Ismat Arif Abu Hassan.
Lushani kemudian memohon supaya tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta di Perak untuk penilaian.
“Kami juga mempunyai memo daripada seorang doktor dari Hospital Pulau Pinang agar tertuduh dihantar untuk penilaian lanjut,” katanya.
Sementara itu, Yazid berkata, pihak pembelaan tidak mempunyai bantahan terhadap permohonan pihak pendakwaan.
Beliau berkata, mereka cuba bercakap dengan anak guam beberapa kali sebelum prosiding tetapi dia tidak memahami apa yang mereka katakan.
Ahzal kemudian memerintahkan Muhammad Nazmi Izzuddin dihantar ke Hospital Bahagia untuk penilaian di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Beliau juga menetapkan 8 Oktober untuk laporan penilaian itu.
Dalam kejadian itu, mangsa cedera di leher dipercayai akibat dikelar suaminya.
Suspek kemudian dipercayai turut mengelar tangan dan lehernya sendiri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








