Jenayah & Mahkamah

Wanita hamil 6 bulan hina Agong ditahan polis

GEORGETOWN – Akibat menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung penganugerahan pingat kepada ahli politik veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, seorang wanita hamil enam bulan ditahan polis.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin, wanita berusia 32 tahun itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara pada Selasa lalu.

Katanya, tangkapan dibuat susulan laporan polis yang diterima daripada orang awam berhubung beberapa kandungan di media sosial yang boleh menjejaskan ketenteraman awam pada 7 Jun lalu.

“Wanita berkenaan ditahan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Hantaran di media sosial itu juga mengaitkan figura terbabit sebagai pencetus rusuhan 13 Mei 1969,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Kok Chin, pihak polis turut merampas beberapa bahan bukti iaitu komputer riba, telefon bimbit dan kad sim milik suspek.

Katanya, suspek dibebaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama kerana sedang hamil enam bulan.

Siasatan dijalankan oleh USJT Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Show More

Related Articles

Back to top button