
Empangan susut: Operasi Pembenihan Awam kali kedua dilakukan di Pulau Pinang
PUTRAJAYA – Operasi Pembenihan Awam (OPA) kali kedua terpaksa dilakukan di Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada tindakan awal bagi mengatasi penyusutan air di Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, operasi itu yang bermula hari ini akan diteruskan sehingga esok.
Beliau berkata, OPA itu dilaksanakan atas permohonan kerajaan negeri Pulau Pinang melalui penyelarasan antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Setakat hari ini, di Empangan Air Itam peratus kapasiti air adalah sebanyak 48.6 peratus dan di Empangan Teluk Bahang 44.4 peratus.
“Kejayaan OPA bergantung kepada keadaan atmosfera yang sesuai seperti kelembapan yang tinggi kehadiran awan kumulus dan kelajuan angin yang lemah.
“Faktor-faktor ini membolehkan penghasilan hujan yang tepat di kawasan sasaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, langkah itu diambil susulan kenyataan oleh MET Malaysia sebelum ini bahawa Monsun Barat Daya (MBD) telah bermula pada 15 Mei lalu dan dijangka berlarutan sehingga September 2023.
Katanya, lazimnya semasa MBD, kurangnya pembentukan awan sekaligus taburan hujan menjadi rendah di kebanyakan kawasan menyebabkan keadaan cuaca panas dan kering.
“Bagi melaksanakan OPA pada hari ini, pesawat C-130 Hercules milik TUDM berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Subang membawa empat tangki mengandungi campuran 800 kilogram garam dan 6,000 liter air yang disediakan pihak MET Malaysia.

“OPA yang dijalankan ini adalah sebahagian usaha yang digembleng oleh pihak NADMA selaku agensi bencana pusat bersama agensi-agensi yang terlibat bagi menjamin sumber air mencukupi di kawasan tadahan hujan sepanjang tempoh negara berhadapan dengan rejim cuaca yang dipengaruhi MBD,” ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai operasi sama yang dijalankan pada 2 Mei sehingga 4 Mei lalu, katanya, ia telah berjaya menghasilkan 100 peratus hujan di kawasan yang disasarkan.

Susulan daripada kejayaan itu, katanya, pihaknya meramalkan kebarangkalian
hujan untuk operasi kali ini adalah pada kadar sekitar 80 peratus berikutan kelembapan atmosfera agak rendah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








