BERITA SEMASA

Malaysia pelopori Makmal Tindakan Korporat WEPs pertama di Asia Pasifik

KUALA LUMPUR – Malaysia mencatat sejarah sebagai negara pertama di Asia Pasifik yang melancarkan inisiatif Libat Urus Tindakan Korporat Prinsip Pemerkasaan Wanita (WEPsCAL) dalam satu majlis, di sini hari ini.

WEPs Corporate Action Lab merupakan program utama di bawah platform Makmal Tindakan Gender UN Women: Inovasi dan Impak untuk Kesaksamaan Gender dengan kerjasama UN Women, LeadWomen dan TalentCorp.

Shu Qi berucap pada majlis pelancaran WEPsCAL.

Ia adalah sebuah makmal tindakan korporat yang disasar untuk memperkasa golongan wanita dan mempromosikan tempat kerja yang inklusif serta mendapat sokongan daripada Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Australia.

Ketua Serantau untuk Pemerkasaan Ekonomi Wanita dan Migrasi, UN Women Asia-Pasifik, Katja Freiwald berkata, WEPs Corporate Action Lab ialah program kohort yang menyokong syarikat dalam menilai kemajuan, menggunakan data dan sumber bersesuaian serta melaksanakan strategi yang disasarkan untuk memajukan kesaksamaan gender selaras dengan Prinsip Pemerkasaan Wanita (WEPs)

“Transformasi perniagaan dan tempat kerja merupakan kunci untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja dan membina ekonomi yang lebih inklusif dan berdaya tahan.

“Pelancaran WEPs Corporate Action Lab dengan tema ‘Mencorak Masa Depan Tempat Kerja yang Mesra Keluarga’ membuktikan komitmen Malaysia untuk menjadi peneraju di rantau ini dalam menghasilkan penyelesaian yang boleh dikembangkan,” katanya pada majlis pelancaran tersebut.

Menurutnya lagi, WEPs merupakan kerangka global yang membimbing sektor korporat dalam membentuk dasar dan amalan responsif gender, manakala UN Women menggunakannya untuk mendorong perubahan transformatif melalui kerjasama sektor swasta.

Pada majlis pelancaran itu, pihak penganjur turut mengumumkan barisan pertama WEPs Changemakers Malaysia yang terdiri daripada 11 syarikat dari pelbagai industri dan saiz organisasi iaitu

1. AirAsia Aviation Management Services Sdn Bhd
2. FGV Holdings Berhad
3. Grant Thornton Malaysia PLT
4. HAYS Malaysia
5. Kiddocare Sdn Bhd
6. Mastrak Sdn Bhd
7. Micron Memory Malaysia Sdn Bhd
8. PEOPLElogy Development Sdn. Bhd.
9. QSR Brands (M) Holdings Bhd
10. Sagemaker Asia PLT
11. WIPRO UNZA MALAYSIA SDN BHD

Sempena majlis itu juga, diadakan sesi panel bersama Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp, Wong Shu Qi; Pakar Program UN Women Asia-Pasifik, Amy Baum; Ahli Ekonomi Kanan Kumpulan Bank Dunia, Shakira Teh Sharifuddin dan Pengerusi Kelestarian dan Ekonomi Kitaran, Persatuan PKS Malaysia (SAMENTA), Dr. John Loh.

Perbincangan yang diadakan memberi tumpuan kepada kepentingan kerjasama awam-swasta dalam membentuk tempat kerja yang mesra keluarga untuk menyokong kemasukan semula, pengekalan dan kejayaan wanita dalam tenaga kerja.

“Kesaksamaan gender memberi manfaat kepada semua. Ia memacu pertumbuhan ekonomi, mengukuhkan perpaduan sosial dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

“Australia berbangga menyokong program inovatif ini yang menyumbang kepada penyertaan ekonomi wanita melalui penyelesaian praktikal yang diterajui sektor swasta,” kata Kaunselor Politik dan Ekonomi, Suruhanjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Clare Gatehouse.

Sementara itu, Shu Qi turut menyatakan komitmen TalentCorp untuk memperkasakan wanita melalui program tersebut.

“TalentCorp berbangga menjadi peneraju dalam inisiatif ini, bekerjasama dengan rakan strategik untuk meruntuhkan halangan dan membina laluan yang membolehkan wanita mengimbangi kerjaya dan tanggungjawab penjagaan keluarga.

“Ia sekali gus membuka potensi penuh mereka dan membentuk masa depan di mana kesaksamaan gender memacu kemakmuran negara,” jelasnya.

Tambah beliau, kerjasama itu merupakan titik perubahan penting dalam komitmen kolektif untuk memperkasa wanita di seluruh Malaysia.

“Melalui kerjasama kukuh antara sektor awam dan swasta, kita berharap dapat mempercepatkan usaha mencapai kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja sebanyak 60 peratus, membentuk tempat kerja yang mesra keluarga serta memastikan peluang sama rata untuk semua wanita menyumbang dan berjaya,” katanya.

Pelancaran Malaysia WEPs Corporate Action Lab menandakan satu langkah besar dalam memperkukuh kesaksamaan gender di landskap perniagaan Malaysia.

UN Women, LeadWomen dan TalentCorp yakin bahawa inisiatif itu akan memperkasakan syarikat untuk mewujudkan tempat kerja yang lebih inklusif dan saksama, sekali gus menyumbang kepada ekonomi yang berkembang pesat dengan penyertaan penuh wanita.

Selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan temanya ‘Kemampanan dan Inklusiviti’, fokus program tersebut kepada tempat kerja mesra keluarga turut disokong oleh kerjasama baharu UN Women dengan ASEAN-Business Advisory Council Malaysia, di bawah sokongan ASEAN Inclusivity Collective dan dijangka mencetuskan gerakan serantau dalam memperkukuh pertumbuhan ekonomi inklusif di seluruh ASEAN.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web www.talentcorp.com.my/wanitaMyWira

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button