TCT Nutraceuticals perkasa usahawan halal Malaysia di BeautyIstanbul 2025
ISTANBUL – Pengeluar jenama kosmetik, TCT Nutraceuticals Sdn Bhd (TCTN) bertekad memperluaskan jaringan perniagaan antarabangsa, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara melalui pemerkasaan usahawan halal dan pengukuhan eksport produk kecantikan halal buatan Malaysia.
Perkara itu dimaklumkan Pengarah Urusan TCT Nutraceuticals, Toms Wu ketika menyertai pameran kecantikan antarabangsa, BeautyIstanbul 2025 yang berlangsung di Tuyap Fair and Congress Center, Istanbul, Turki baru-baru ini.
Penyertaan TCT Nutraceuticals dalam pameran tersebut mendapat sokongan penuh daripada Halal Development Corporation (HDC), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI).

“Memanfaatkan kedudukan sebagai wakil industri utama dalam pameran ini, TCT Nutraceuticals memainkan peranan strategik dalam memperluas akses pasaran antarabangsa bagi usahawan tempatan.
“Menerusi model perniagaan OEM dan ODM, syarikat ini menyediakan solusi menyeluruh untuk membina jenama kosmetik tanpa keperluan pelaburan besar dalam fasiliti pengilangan iaitu satu pendekatan yang efektif dalam memperkasakan pertumbuhan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) terutamanya dalam sektor kecantikan halal,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Menurutnya lagi, inisiatif itu menampilkan 20 syarikat Malaysia yang mewakili pelbagai segmen industri kecantikan dan penjagaan diri halal termasuk kosmetik, penjagaan kulit dan penjagaan rambut, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh ekosistem halal di peringkat global.
“Edisi ke-6 BeautyIstanbul menghimpunkan lebih 1,200 syarikat dari 60 negara, mempamerkan lebih 15,000 produk dan 3,000 jenama antarabangsa menjadikannya antara platform terbesar untuk industri kecantikan global.
“Melalui penyertaan ini, ia turut memperkukuh potensi eksport produk kecantikan halal Malaysia dan memperteguh kedudukan negara sebagai hab utama industri halal global.
“Malah, permintaan antarabangsa terhadap produk halal yang kian meningkat membuka peluang luas kepada Malaysia untuk tampil sebagai peneraju menerusi produk berkualiti tinggi, selamat dan inovatif,” jelasnya.
Tambah beliau, BeautyIstanbul bukan sekadar platform pameran, malah merupakan medan strategik untuk memperkasa lebih ramai usahawan halal Malaysia serta memacu pertumbuhan industri halal negara di pentas global.

“Kami berbangga menjadi antara penggerak yang membawa jenama tempatan ke pasaran antarabangsa,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh kehadiran global dan meneroka peluang kerjasama rentas sempadan, delegasi TCT Nutraceuticals yang diketuai oleh Toms bersama Pengarah Pemasaran, Taevin Teh turut mengadakan sesi padanan perniagaan (B2B) dengan beberapa pemain industri strategik dari Turki.
Ia termasuklah syarikat terkenal, The Miadrops dan Treda Hizli Tuketim Urenleri Satis ve Dagitim A.S.
Penyertaan aktif TCT Nutraceuticals dalam BeautyIstanbul 2025 menjadi bukti komitmen syarikat itu dalam menyokong agenda pembangunan industri halal negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




















