Penduduk LEP bimbang tanah diceroboh, dijadikan depoh lori haram
SERDANG – Selepas lebih tiga tahun membuat pelbagai aduan kepada pihak berkuasa tempatan dan wakil rakyat, penduduk Taman Lestari Putra (LEP) di sini kini menuntut tindakan tegas terhadap sebuah depoh lori haram yang terus beroperasi tanpa kebenaran di kawasan perumahan mereka.
Isu itu bukan sahaja melibatkan pelanggaran undang-undang perbandaran, tetapi turut membangkitkan persoalan tentang keselamatan awam, pencemaran alam sekitar dan kemungkinan wujud salah guna kuasa dalam kalangan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurut wakil NGO Squad Warga Prihatin LEP, Norizal Razali, aduan pertama dibuat pada 26 Februari 2022 kepada Ahli Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Zon 19, M. Anbarsan, namun tiada maklum balas atau tindakan nyata diambil sehingga hari ini.
“Kami sudah cuba semua saluran berjumpa ahli majlis, buat aduan melalui sistem SISPAA, kepada MBSJ, bahkan hingga ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana kami mula syak ada sesuatu yang tak kena.
“Masakan selama tiga tahun tiada satu pun tindakan tegas?” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, depoh lori itu menempatkan treler bersaiz besar dan berat yang keluar masuk kawasan perumahan hampir setiap hari, termasuk pada waktu malam.
“Kami bimbang sebab, taman perumahan ini hanya mempunyai satu jalan keluar dan masuk, ia akan jadi situasi berisiko kepada penduduk taman sekiranya berlaku kecemasan.
“Ini bukan lori satu tan atau dua tan, ini treler panjang dan besar, kalau berlaku kebakaran atau ambulans nak masuk, boleh jem terus,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, depoh itu dilaporkan semakin meluas dengan kerja-kerja tambakan tanah serta pembuangan sisa pembinaan yang tidak dikawal, tindakan itu dipercayai berlaku tanpa permit dan boleh mencemarkan sungai berhampiran serta merosakkan ekosistem semula jadi.

“Kami risau bahan buangan termasuk minyak, sisa pembinaan akan masuk sungai.
“Ini bukan sahaja masalah taman kami, ini boleh jadi masalah negeri kalau pencemaran berlaku,” tegasnya
Selain lori aktif, katanya, kawasan depoh juga menempatkan kenderaan lusuh dan sampah seperti tayar, kaca dan plastik yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Kawasan depoh tu dah jadi kotor, macam tapak pelupusan haram dah ancam kesihatan penduduk.
“Tapi bila kami lapor, jawapan yang kami terima ‘kami akan pantau,’ sampai bila?” katanya.
Akibat tiada tindakan berkesan walaupun banyak laporan dibuat, katanya, penduduk akhirnya membuat aduan kepada SPRM pada minggu lalu kerana mengesyaki wujud unsur salah guna kuasa.
“Kami percaya ada kelonggaran luar biasa dalam penguatkuasaan.
“Kami bukan nak tuduh sesiapa, tapi sebagai rakyat, kami berhak tahu kenapa aduan kami tak diendahkan walaupun dibuat secara sah,” ujarnya.
Rizal turut meluahkan rasa kecewa terhadap sikap wakil rakyat tempatan dan ahli majlis yang didakwa tidak turun padang atau memberi perhatian serius.
“Kami tak mahu gaduh, kami mahu bekerjasama, tapi sekarang, bila kami bersuara, kami pula didera secara emosi dan mental, kami dianggap pembangkang pula,” katanya.
Sehubungan itu katanya, penduduk kini menuntut supaya kerajaan negeri, PBT dan agensi penguatkuasaan segera mengambil tindakan menyeluruh sebelum keadaan menjadi lebih parah.
“Jangan tunggu berlaku kemalangan, pencemaran, atau kematian baru nak ambil tindakan. Kami dah tunggu cukup lama, suara rakyat jangan terus dibisukan,”tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








