Tanggungjawab badal haji sepatutnya dipikul Tabung Haji
KUALA LUMPUR – Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman mencadangkan supaya Tabung Haji (TH) mengambil tanggungjawab menguruskan badal haji supaya pelaksanaan ibadah itu dapat dilakukan secara sistematik dan terjamin.
Beliau berkata, tanggungjawab itu mungkin akan menambah beban yang sedia ada kepada TH tetapi langkah itu diharap dapat mengelakkan kes penipuan pakej upah haji yang dilakukan untuk individu sudah meninggal dunia itu.
Apatah lagi, permintaan untuk melaksanakan badal haji semakin tinggi sekarang ini.
“Kalau Tabung Haji sendiri boleh menguruskan dan melaksanak badal haji lebih baik walaupun saya akui TH juga tidak mungkin mampu menguruskannya disebabkan permintaan yang tinggi,” katanya memetik laporan MalaysiaGazette.
Lantaran itu, Abdul Rahman meminta orang ramai kekal berhati-hari supaya tidak terpedaya dengan pakej badal haji murah dan tidak munasabah yang ditawarkan oleh pelbagai agensi.
Nasihatnya, orang ramai perlu membuat penelitian dan semakan terlebih dahulu sebelum mengambil pakej upah badal haji memandangkan berlaku peningkatan kos haji yang ditetapkan oleh Arab Saudi.
Selain itu, katanya, orang ramai yang mahu mengupah badal haji perlu benar-benar pastikan pihak yang diupah melaksanakan ibadah itu adalah individu yang betul iaitu penduduk tempatan di sana sahaja dan bukanya warga asing yang lain.
“Ini kerana Arab Saudi sudah menetapkan kadar kepada orang tempatan di sana, kena fikir logik bagaimana kos yang ditawarkan kepada kita boleh murah.
“Ada tawaran badal haji jika sekitar RM1,500 sehingga RM3,500, itu terlampau murah sedangkan harga asal permit haji yang lebih tinggi yang ditetapkan mencecah SR4,000 (RM4,800).
“Perlu diingat bahawa badal haji ini kita wakilkan atau mengupah individu lain untuk buat haji. Jadi seorang itu hanya boleh mengambil upah pergi haji untuk satu kepala sahaja.
“Kalau bagi upah kepada pelajar, juga berpandukan kepada syarat, juga mengikut kos permit mereka di sana,” jelas Abdul Rahman lagi.