Berita Semasa

PAC cadang prosiding baru kemajuan pembinaan kapal LCS

KUALA LUMPUR  – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan mengadakan prosiding baru berhubung pembinaan Kapal Littoral Combatant Ship (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia pada Mesyuarat Kedua sidang Dewan Rakyat yang akan bermula 22 Mei depan.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata cadangan prosiding berkenaan akan dimulakan sebaik Dewan Rakyat meluluskan pelantikan ahli PAC yang baharu.

“Sebaik pelantikan ahli PAC diluluskan, saya akan memanggil Mesyuarat PAC pertama bagi penggal Parlimen ke 15 dan agenda pertama adalah berhubung prosiding baru bagi perkembangan kemajuan pembinaan Kapal LCS,” ujarnya.

Menurut Datuk Mas Ermieyati, PAC Parlimen penggal ke 14 sudah membentangkan Laporan Perolehan Kapal LCS pada 4 Ogos tahun lalu.

Manakala Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (MINDEF) turut membentangkan maklum balas kepada PAC Parlimen penggal lalu terhadap tujuh syor pada 5 Oktober lepas.

“Antara syor PAC adalah MINDEF perlu membentangkan laporan kemajuan pembinaan Kapal LCS setiap 3 bulan kepada PAC.

“Saya akan mencadangkan kepada PAC bahawa setiap tiga bulan apabila laporan kemajuan dibentangkan kepada jawatankuasa ini, PAC akan mengeluarkan satu laporan baru untuk dibentangkan kepada Parlimen,” ujarnya.

Datuk Mas Ermieyati berkata, PAC dijangka akan mengadakan prosiding pertama nanti di Limbungan Kapal Boustead Naval Shipyard (BNS) iaitu syarikat pembinaan kapal LCS dan seterusnya mengadakan lawatan kerja bagi melihat sendiri kemajuan pembinaan kapal LCS.

“Saya dan Naib Pengerusi PAC telah selesai menyatakan kunjungan hormat kepada semua tujuh wakil tetap atau Ex Officio PAC antaranya terdiri daripada Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,

“Semua Ex Officio PAC yang ditemui bersetuju untuk terus menjalinkan kerjasama erat dengan PAC dalam memastikan ketelusan dan kredibiliti Jawatankuasa ini terus
diperkukuhkan,” ujarnya

Show More

Related Articles

Back to top button