40 pegawai MCMC tamatkan program kepimpinan ALPs di MMU
PUTRAJAYA – Seramai 40 pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menamatkan Accelerated Leadership Program Series (ALPs) kohort dua, di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya.
Menurut Pengarah Urusan MCMC, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus, menerusi program itu, kesemua peserta berjaya menamatkan pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Fakulti Perniagaan MMU.
“Program ALPs ini adalah program yang ditaja sepenuhnya oleh MCMC untuk pembangunan kepimpinan khusus bagi bakat- bakat MCMC berpotensi tinggi berdasarkan Model Kecekapan Tingkah Laku (BCM) dan Ciri Kepimpinan Digital.
“Terdapat tiga fasa pembangunan kepada ALPs iaitu peringkat pembelajaran, peringkat pengaplikasian dan peringkat perkongsian,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup program berkenaan di Putrajaya hari ini.

Hadir sama, Presiden MMU, Professor Datuk Dr. Mazliham Mohd Su’ud serta Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Mengulas lanjut, Mohd Ali berkata, program ini turut menyaksikan kakitangan MCMC mencapai kejayaan cemerlang dalam pelbagai pertandingan inovasi di peringkat global.
“Mereka berjaya merangkul satu Anugerah Emas, satu Anugerah Perak dan satu Anugerah Gangsa di Pameran Inovasi iNVENTX.
“Mereka juga berjaya meraih satu Anugerah Cemerlang, satu Anugerah Perak, satu Anugerah Emas, dan satu Anugerah Gangsa di MTE SDG International Innovation Awards & Expo 2024 serta tiga anugerah di International Invention and Innovative Competition (INIIC).
“Selain itu, dua peserta kami turut dianugerahkan Best Presenter Award yang berprestij di acara peringkat antarabangsa, Kongres DIFCON 2024 dan ICAME 2024,” katanya.
Ditanya mengapa MMU dijadikan pilihan untuk menjayakan MCMC ALPs, Mohd Ali berkata, selain menyediakan pembelajaran secara teori, MMU turut melibatkan pendedahan dalam jalinan industri.
Beliau berkata, ia berupa kajian kes dan projek pengkomersialan bersama dengan syarikat terkemuka seperti Huawei, Malaysian Aviation Group dan Aerodyne.
“MMU bukan hanya ada kepakaran dalam bidang akademik sahaja malah mereka juga ada nilai komersial iaitu satu unit sinergi yang memberi pendedahan kepada peserta dalam industri,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden MMU, Professor Datuk Dr. Mazliham Mohd Su’ud menyifatkan kejayaan peserta hari ini mencerminkan komitmen MCMC yang tidak berbelah bahagi untuk memupuk tenaga kerja yang bersedia untuk masa hadapan.
Katanya, menerusi ALPS, pegawai MCMC telah diberikan pendedahan kepada alat yang sesuai serta panduan yang baik bagi membolehkan mereka menghadapi cabaran dan berkembang pada masa hadapan.
“MMU berbesar hati kerana telah memainkan peranan dalam melengkapkan pengetahuan akademik dan alatan praktikal yang diperlukan.
“Saya gembira kerana MMU dan MCMC berkongsi visi untuk membangunkan pemimpin yang inovatif, boleh menyesuaikan diri dan berdaya tahan telah menjadi nadi program ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







