Berita Semasa

Belanjawan 2025 bukti keterangkuman rakyat berbilang bangsa – Aaron Ago Dagang

PUTRAJAYA – Belanjawan 2025 yang dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mencerminkan penekanan kepada prinsip keterangkuman dengan mengambil kira keperluan seluruh rakyat berbilang bangsa di negara ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, aspek keterangkuman itu penting bagi memastikan tiada pihak yang terpinggir, sekaligus mengukuhkan perpaduan serta keharmonian negara.

“Melalui Belanjawan 2025 ini, KPN telah diberi peruntukan sebanyak RM711.34 juta iaitu RM587.35 juta adalah Perbelanjaan Mengurus dan RM123.99 juta adalah Perbelanjaan Pembangunan.

“Peruntukan ini meningkat sebanyak lebih 11.88% berbanding tahun 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aaron berkata, kerajaan juga memberikan perhatian khusus terhadap prinsip keterangkuman dengan memastikan tiada golongan atau komuniti yang terpinggir.

“Belanjawan itu turut memperkenalkan beberapa inisiatif khas bagi memperkukuh perpaduan di bawah KPN. Antaranya adalah pelaksanaan program perpaduan dan integrasi nasional yang bertujuan memupuk semangat perpaduan serta jati diri rakyat.

“Selain itu, peranan Kawasan Rukun Tetangga akan diperkasa untuk memperkukuh hubungan dalam komuniti,” katanya lagi.

Inisiatif lain termasuk pendigitalan bahan khazanah warisan negara untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam serta pembaikan dan penyelenggaraan premis perpaduan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

Aaron berkata, fokus KPN pada tahun 2025 adalah terhadap pemerkasaan Kawasan Rukun Tetangga Progresif, Eksplorasi Rukun Negara, dan Inisiatif Harmoni Madani.

“Kami yakin inisiatif-inisiatif itu akan membantu mewujudkan suasana perpaduan yang lebih kukuh, sekali gus mencapai sasaran Indeks Perpaduan Nasional yang lebih baik menjelang 2025,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, KPN komited untuk memastikan perpaduan terus diperkukuh dengan pelaksanaan pelbagai program yang mampu meningkatkan interaksi dan kerjasama antara rakyat pelbagai kaum.

Show More

Related Articles

Back to top button