Penduduk terkesan tanah runtuh di Taman Melawati dibenarkan pulang mulai pukul 6 petang tadi
KUALA LUMPUR – Kesemua mangsa tanah runtuh di Taman Melawati dekat sini dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing bermula 6 petang tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohd Azam Ismail, keputusan itu dibuat setelah mendapat persetujuan semua agensi terlibat dalam kerja pembaikan tanah runtuh berkenaan yang masuk hari ketiga, hari ini.
“…ketika ini tiada sebarang pergerakan tanah yang baharu dikesan berdasarkan kajian pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
“Berdasarkan keseluruhan dapatan kita pada hari ini dan persetujuan semua agensi terlibat, kita membenarkan penduduk di Jalan E6 yang membabitkan 20 rumah yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh itu untuk kembali ke rumah masing-masing mulai pukul 6 petang ini,” katanya.
Selasa lalu, tanah runtuh yang berlaku pada kira-kira pukul 10.15 pagi akibat hujan lebat memaksa penghuni 20 rumah di Taman Melawati untuk mengosongkan kediaman masing-masing.
Ketika ini, 23 orang daripada tujuh keluarga ditempatkan di PPS manakala kira-kira 10 lagi memilih tinggal di hotel atau menumpang rumah saudara.
Mohd Azam bagaimanapun menyeru penduduk yang pulang ke kediaman masing-masing sentiasa berwaspada manakala kerja laluan mitigasi dan penyelenggaraan cerun masih giat dijalankan untuk mengelak hakisan tanah daripada terus berlaku.
“Kita jangka penyelenggaraan cerun yang terkesan ini hingga esok namun jika perlu lebih masa maka kita akan teruskan. Pos pengawal pihak polis dan bomba juga akan ditempatkan hingga esok bagi memantau keadaan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Penolong Pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, Ahmad Fitri Ahmad berkata, kerja penyelenggaraan di kawasan itu akan diuruskan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) manakala kerja baik pulih dan pembaikan jangka panjang diserahkan kepada pemilik tanah.
Mengenai Tabung Amanah Bencana Negeri Selangor, Ahmad Fitri berkata, kesemua ketua isi rumah yang terjejas layak memohon bantuan RM500 setiap isi rumah dan permohonan boleh dibuat di Pejabat Penghulu Mukim berdekatan.