Berita Semasa

Syarikat gajikan kurang daripada 5 pekerja dikecualikan Perintah Gaji Maksimum 2022 hingga Julai 2023

CYBERJAYA – Kerajaan membuat keputusan untuk melanjutkan penangguhan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima pekerja kepada 1 Julai 2023.

PGM 2022 berkuat kuasa mulai 1 Mei 2022 dengan kadar gaji minimum RM1,500 dan meliputi semua sektor pekerjaan tanpa mengira wilayah, dan ketika pelaksanaannya, majikan yang menggajikan kurang daripada lima pekerja diberi pengecualian sehingga 1 Jan 2023.

Menurut Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar, keputusan itu diambil setelah Kerajaan mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan yang dijangka menghadapi cabaran ekonomi serta kewangan pada tahun 2023.

“Penangguhan tambahan selama enam bulan ini juga diharap dapat memberikan peluang untuk menyelaras dan mengimbangi keperluan kewangan yang sedikit sebanyak akan membantu memulihkan kedudukan ekonomi syarikat-syarikat yang menggajikan kurang dari lima orang pekerja,” kata Sivakumar dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau bagaimanapun menegaskan, majikan yang menjalankan aktiviti profesional yang dikelaskan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (Malaysia Standard Clasiffication of Occupation,
MASCO) dan menggajikan lima orang pekerja atau lebih dan tanpa mengira jumlah pekerja, masih perlu meneruskan pembayaran gaji minimum sebanyak RM1,500 bermula pada 1 Mei 2022.

“Justeru itu, majikan yang tidak terlibat dengan penangguhan ini hendaklah terus mematuhi pelaksanaan PGM dengan membayar gaji minimum RM 1,500 sebulan kepada pekerja,” kata Sivakumar lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button