Berita SemasaDalam Negeri

Tiada kompromi pegawai terlibat kekerasan, penderaan dalam depot – KP JIM

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa oleh pegawainya terutama yang melibatkan kekerasan dan penderaan dalam tahanan.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya akan mengambil tindakan perundangan yang tegas terhadap pegawai-pegawai yang didapati menggunakan kekerasan dan penderaan kepada mana-mana tahanan di depot JIM di seluruh negara.

Beliau berkata demikian berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengenai kes tahanan Depot Imigresen Sementara Bidor (DISB) yang melarikan diri pada 1 Februari lalu.

“JIM mengambil maklum dan memandang serius terhadap penemuan hasil siasatan pihak EAIC bahawa terdapat unsur kekerasan dan penderaan fizikal dan mental terhadap tahanan oleh beberapa pegawai JIM bermula tahun 2020 hingga 2021.

“Di dalam pengurusan Depot Imigresen, JIM sentiasa mematuhi
ketetapan standard piawaian antarabangsa iaitu Peraturan Minimum Standard Bangsa-bangsa Bersatu Untuk Layanan Banduan (The Nelson Mandela Rules) dan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC).

“Peraturan lain termasuk Penjagaan kesihatan dalam Tahanan, Peraturan-Peraturan Imigresen (Pentadbiran dan Pengurusan Depot Imigresen) 2003 dan Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen Mengenai Pentadbiran dan Pengurusan Depot Imigresen,” katanya dalam satu kenyataan.

Zakaria berkata, pihaknya kini sedang menunggu laporan penuh daripada EAIC berkaitan hasil siasatan bagi JIM mengambil tindakan lanjut.

“Sekiranya didapati terdapat unsur-unsur kekerasan dan penderaan, JIM akan mengambil tindakan keras terhadap pegawai-pegawai tersebut berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button