Santuni MADANI bukti komitmen MINDEF bersama masyarakat
MELAKA – Kementerian Pertahanan (MINDEF) terus fokus dalam usaha meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat setempat dengan memilih Kampung Bukit Bayan, Bukit Katil, di sini sebagai lokasi penganjuran Program Santuni MADANI.
Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, pemerkasaan itu dilaksanakan melalui Hari Bertemu Rakyat yang menyediakan ruang dan peluang kepada masyarakat setempat menyampaikan pelbagai pandangan atau isu untuk diselesaikan.
Jelasnya, usaha itu telah mendapat kerjasama daripada semua peringkat agensi kerajaan Negeri dan Persekutuan serta wakil penduduk termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), komuniti belia, pemimpin dalam kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Program ini merupakan kolaborasi antara MINDEF, termasuk Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dengan agensi kerajaan negeri serta penduduk setempat, sesuai dengan sebahagian daripada teras keempat kementerian ini untuk menghubungkan anggota pertahanan dengan masyarakat awam.
“Pada program ini kita adakan juga majlis dialog untuk mendengar isu-isu dibangkitkan oleh masyarakat, sebahagiannya berjaya diselesaikan dan sebahagiannya masih dalam proses. Tujuan kita adakan program ini adalah untuk memahamkan masyarakat mengenai proses menyelesaikan sesuatu isu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Program Santuni MADANI Peringkat Negeri Melaka di Masjid Raudhatul Jannah Bukit Bayan, di Bukit Katil, di sini, kelmarin.
Pada program itu beliau turut menyampaikan lesen memandu percuma kepada 50 orang terpilih serta 200 Bakul Rahmah kepada penduduk kampung dan ahli kariah masjid.
Tambah Adly, pengisian Santuni MADANI turut memuatkan Pameran Kesihatan dan pemeriksaan gigi daripada Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pelbagai kaunter perkhidmatan awam termasuk Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan Pejabat Daerah Tanah Melaka Tengah.
Beliau berkata, sepanjang program itu berlangsung, pihaknya turut mengadakan Program Jiwa Murni bersama masyarakat kampung dengan melaksanakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan masjid yang dianjurkan Rejimen 514 Askar Wataniah.
“Saya juga berkesempatan menyantuni dua veteran ATM di kawasan berhampiran di bawah Program Veteran Desa Madani (VDM) dan menyampaikan sumbangan barangan makanan dan peralatan kesihatan serta mengenal pasti keperluan lain.
“Melalui program Santuni MADANI ini kita dapat menzahirkan aspirasi kerajaan yang sentiasa ‘Responsif, Prihatin dan Komited’ dalam menjaga kesejahteraan dan kebajikan veteran ATM, iaitu salah satu teras utama dalam Pelan Strategik Kementerian Pertahanan,” ujarnya.
Sementara itu, veteran Leftenan Idris Ismail TLDM (Bersara), 72, yang merupakan pesara dari KD PELANDOK, Lumut menzahirkan ucapan terima kepada kementerian yang sentiasa melibatkan golongan veteran dalam program-program pemerkasaan taraf kehidupan.
“Di Melaka ini terdapat kira-kira 600 ahli Persatuan Veteran TLDM dan kami sentiasa mencari peluang bersama-sama membantu meningkatkan kualiti kehidupan termasuk menyelesaikan isu-isu berbangkit di kawasan masing-masing yang turut melibatkan kepentingan masyarakat setempat.
“Persatuan kami juga aktif melakukan aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong membersihkan surau dan mengadakan program pada setiap kali Ramadan selari dengan seruan Kerajaan MADANI,” ujarnya.
Bagi veteran Pegawai Waran I Md. Sharif Amat (Bersara), 67, inisiatif dilakukan oleh kementerian itu, membuktikan golongan veteran masih memainkan peranan besar dalam bersama-sama menjaga kesejahteraan rakyat.
“Kami rasa sangat berbesar hati kerana dapat bersama-sama terlibat dalam program dianjurkan bersama masyarakat, meskipun sudah tidak berkhidmat secara rasmi tetapi keupayaan kami dalam menjaga kesejahteraan rakyat terus diiktiraf.
“Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Melaka juga giat dalam menjaga kebajikan ahli seramai 14,000 dengan menyalurkan bantuan kepada mereka yang kurang upaya dan asnaf,” katanya.