Berita Semasa

Dakwaan Islam tergugat di Malaysia satu naratif palsu

PUTRAJAYA – Dakwaan Islam terancam dan tergugat di Malaysia adalah naratif palsu yang cuba mengaburi mata rakyat.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, Islam bukan saja tidak terancam dan tidak tergugat malah terus subur dan mekar di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Naratif Islam terancam dan tergugat ini sebenarnya terus dimainkan sekian lama demi mengaut sokongan dan membangkitkan sentimen agama.

“Seharusnya, perkara ini perlu dihentikan dan naratif yang adil seiring dengan aspirasi dan hasrat kerajaan diketengah dan diarusperdanakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zulkifli berkata, negara kini menjadi tumpuan ulama tersohor dan cendekiawan daripada seluruh dunia yang hadir memberikan tausiyah, nasihat, pesanan serta mencurahkan ilmu mereka di Malaysia.

Antara ulama yang hadir termasuk Al-Imam Al-Akbar Syeikhul Azhar Dr Ahmed Mohammed Ahmed El-Tayeb, Syeikh Ali Jum’ah, Syeikh Ali al-Qaradaghi, Syeikh Abu Bakar Ahmad, Syeikh Yasir Qadhi, Syeikh Omar Suleiman, Syeikh Ahmed al-Raysuni, Syeikh Maheral-Muayqali.

“Ulama hebat ini memuji Malaysia dan mengiktiraf suasana dan keadaan di negara kita yang subur dengan majlis ilmu dan menikmati perkembangan Islam yang sangat baik,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, tuduhan bahawa perundangan Islam dan Mahkamah Syariah akan tergugat adalah sesuatu yang tidak benar dan fitnah jahat kerana kerajaan komited memartabatkan perundangan dan kehakiman Islam.

“Usaha ini adalah menyeluruh bukan saja dari aspek penggubalan undang-undang substantif dan prosedural tetapi juga pembangunan sumber manusia, infrastruktur dan ekosistem perundangan Syariah itu sendiri.

“Kajian mengenai Akta Saraan Hakim Syarie, penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Syariah dan pewujudan Akademi Kehakiman Syariah Malaysia menunjukkan keseriusan kerajaan memberi pengiktirafan kepada pemerkasaan perundangan Syariah,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button