
Belanjawan 2025: Peningkatan peruntukan FELDA beri impak positif kepada peneroka
KUALA LUMPUR – FELDA menyambut baik Belanjawan 2025 yang bertemakan Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut FELDA dalam satu kenyataan, belanjawan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam membangunkan ekonomi yang inklusif, progresif, dan berdaya tahan, seiring dengan aspirasi Madani yang berfokus pada kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.
“FELDA amat menghargai beberapa pengumuman penting yang akan memberi impak positif kepada kesejahteraan warga peneroka, antaranya Program Sejahtera Komuniti Madani (Sejati Madani).
“Sehingga kini, lebih 57 peratus permohonan rancangan FELDA telah diluluskan yang melibatkan program untuk pertanian, makanan, jahitan, kraftangan, herba, kesihatan, pelancongan, hospitaliti, aktiviti hijau dan kitar semula.
“Ini sekaligus dapat meningkatkan taraf hidup komuniti FELDA dengan pelbagai inisiatif pembangunan sosioekonomi, yang sangat bertepatan dengan matlamat kerajaan untuk memperkasakan rakyat di kawasan luar bandar,” katanya.
Dalam pada itu katanya, FELDA turut menghargai peningkatan peruntukan kepada FELDA, FELCRA dan RISDA sebanyak RM2.6 bilion berbanding RM2.4 bilion sebelumnya, bagi memperkukuh sektor pertanian, khususnya sawit.
Pada masa sama, katanya, kerajaan turut menaikkan nilai ambang levi keuntungan luar biasa ke atas buah kelapa sawit seterusnya mengukuhkan daya saing industri sawit negara.
“Kerajaan juga mengumumkan penambahbaikan kesihatan dan dialisis peritoneal di mana FELDA komited untuk turut serta dalam usaha ini dengan menambah baik kemudahan pusat dialisis FELDA, demi memastikan warga
FELDA yang memerlukan rawatan mendapat akses kepada perkhidmatan yang berkualiti.
“FELDA juga menghargai cadangan pembaikan infra jalan FELDA dan pembinaan prasekolah yang baharu di tanah rancangan. Dengan sokongan belanjawan yang menyeluruh ini, FELDA dan peneroka akan terus berusaha keras untuk menjamin pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan demi mempertingkatkan mutu kehidupan warga peneroka.
Sementara itu katanya, FELDA yakin bahawa dengan kerjasama padu antara kerajaan dan agensi-agensi berkaitan, visi untuk mencipta sebuah negara Madani yang makmur dan rakyat yang sejahtera akan dapat dicapai.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |