Misi PM di Riyadh: Masjid, surau disarankan adakan solat hajat
PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyarankan masjid-masjid di bawah pentadbirannya mengadakan solat hajat bagi mendoakan kejayaan misi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sidang Kemuncak Bersama Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam di Riyadh, Isnin ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, masjid-masjid terutama di Masjid Negara di Kuala Lumpur, Masjid Putra dan Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin di sini diharap dapat mengadakan solat hajat bermula hari ini sehingga Isnin depan.
Selain itu katanya, semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan turut disaran melakukan perkara yang sama.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menyatakan sokongan padu kepada Perdana Menteri atas ketegasan membawa usul menghentikan kekejaman Israel terhadap Palestin, pada Sidang Kemuncak Bersama Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam.
“Pelaksanaan solat hajat ini adalah untuk memohon doa dan perlindungan daripada Allah SWT agar perjalanan serta misi Perdana Menteri mendapat keberkatan dan mencapai kejayaan demi manfaat negara serta ummah,” katanya memetik Bernama.
Mohd Na’im berkata, pelaksanaan solat hajat itu diharap dapat meningkatkan solidariti umat Islam di seluruh negara, sekali gus menyatukan hati rakyat Malaysia dalam mendoakan misi penting berkenaan.
Beliau berkata, Anwar akan menyampaikan suara serta harapan negara di pentas antarabangsa pada sidang kemuncak itu yang dijangka turut membincangkan isu-isu kritikal membabitkan negara-negara Islam.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengajak seluruh umat Islam untuk bersama-sama menyertai solat hajat ini sebagai tanda sokongan dan solidariti kepada pemimpin kita, serta turut mendoakan kesejahteraan anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) yang sedang bertugas di Lubnan.
“Semoga usaha kita diberkati Allah SWT, dan Malaysia terus kekal aman serta sejahtera bawah lindungan-Nya,” katanya.