Malaysia tumpu pembangunan modenisasi aset pertahanan, AI
KUALA LUMPUR – Malaysia mengulangi pendirian untuk kekal bebas dan berkecuali malah sedia bekerjasama dengan mana-mana negara untuk berkongsi teknologi strategik pertahanan di samping mengeratkan hubungan dengan pemain industri pertahanan global.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penekanan mengenai perkara itu dinyatakan beliau semasa menghadiri Sidang Kemuncak Responsible Artificial Intelligence (AI) in the Military Domain (REAIM) dan Dialog Pertahanan Seoul (DSS 2024) di Korea yang berakhir semalam.
Beliau berkata, pendirian itu adalah usaha kerajaan untuk meningkatkan modenisasi aset strategik pertahanan selaras dengan fokus kerajaan terhadap pembangunan industri pertahanan negara.
“Sidang Kemuncak REAIM 2024 telah mengumpulkan lebih 90 delegasi dari seluruh dunia melibatkan pihak-pihak yang berkepentingan dalam bidang pertahanan dan ketenteraan di peringkat global.
“Antara intipati utama yang dibincangkan adalah berkenaan keperluan penetapan norma dan prosedur operasi standard (SOP), kemajuan dan impak AI terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa serta merangka tadbir urus masa depan AI dalam domain ketenteraan dengan pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.
Sidang Kemuncak REAIM yang dianjurkan secara bersama oleh beberapa negara termasuk Korea, Belanda, Singapura, Kenya, dan United Kingdom bertujuan membincangkan pendekatan berkaitan kecerdasan buatan (AI) untuk diterokai dan diaplikasi dalam bidang ketenteraan.
Sementara itu, semasa menghadiri DSS 2024, Mohamed Khaled menegaskan kepentingan kerjasama pertahanan yang terjalin untuk mengoptimumkan pelbagai manfaat seperti program “offset”, latihan dan pemindahan teknologi khususnya dalam bidang teknologi AI.
“Kerjasama ini penting dalam menangani ancaman bukan tradisional yang memerlukan perkongsian risikan rentas negara dan benua,” katanya dalam pertemuan dengan menteri pertahanan beberapa buah negara termasuk Korea dan Emeriah Arab Bersatu.
Katanya, hasil pertemuan itu, kedua-dua menteri mengulangi komitmen untuk memperkukuhkan hubungan dan menjalinkan kerjasama pertahanan dan ketenteraan dua hala melalui pelbagai platform serta pembangunan keupayaan pertahanan negara.
SDD 2024 merupakan penganjuran kali ke-13 yang melibatkan 900 delegasi dan perwakilan dari 64 buah negara. Dialog ini bertujuan untuk memperbaiki persekitaran keselamatan dan mewujudkan kepercayaan ketenteraan di rantau Asia Pasifik.
Di penghujung lawatan, Menteri Pertahanan juga berpeluang melawat Korea Aerospace Industries Ltd (KAI) dan Hanwha Aerospace Industries yang membangunkan 18 unit pesawat FA-50M kepada Kementerian Pertahanan.
“Lawatan ini bertujuan untuk melihat sendiri proses pembinaan pesawat tempur ringan FA-50M yang mana kemajuan status semasa projek sehingga Ogos 2024 adalah sebanyak 39%.
“Ia merangkumi keseluruhan fasa pembangunan pesawat dan Integrated Logistics Support (ILS) melibatkan pembangunan simulator dan peralatan dukungan latihan, perolehan alat ganti dan peralatan sokongan serta latihan kepada juruterbang dan anggota kejuruteraan,” katanya.