Sanusi sahkan beristeri 2
KUALA NERANG – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan telah beristeri dua dengan seorang anggota polis.
Menurut laporan Sinar Harian, Sanusi mengiyakan majlis meminang isteri keduanya dilakukan sendiri oleh isterinya, Tok Puan Jusmalailani Jusoh beberapa bulan lalu.
Menurutnya, isteri keduanya merupakan seorang ibu tunggal yang memiliki seorang anak dan keluarga isterinya berasal dari Kedah.
“Saya kahwin dengan anggota polis. Proses meminang dibuat oleh isteri saya berbulan dulu. Alhamdulillah, semua proses sempurna dan teratur.
“Pada hari peminangan dan perkahwinan, isteri saya (Jusmalailani) ada, anak saya pun hadir. Semua proses mengikut prosedur dan dipatuhi. Jadi tak ada isu,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan geran tanah di Felcra Belimbing, Tualak, dekat sini hari ini.
Sanusi berkata, perkahwinan keduanya tidak diumumkan kerana tidak suka menghebahkan hal keluarga.
“Ini hal peribadi, jarang saya cakap, rumah tangga orang pun saya tak kacau tapi saya tak tahu pasal apa orang minat sangat dengan hal saya.
“Saya tak suka hal peribadi keluarga dihebahkan, banyak orang buat spekulasi kata saya kena tangkap khalwat lah, tak patut sungguh. Benda-benda seperti ini tak patut jadi sensasi, masyarakat harus dididik. Sensasi ni mesti ada isi kena ada ilmu,” ujarnya.
Menurutnya, bagaimanapun bagi mengelak difitnah atau disensasikan, Sanusi tampil memperjelaskan situasi sebenar.
“Saya nak elak benda-benda sensasi yang tak perlu macam ni lah. Tak jadi isu, saya ada kuota dua lagi,” katanya sambil ketawa.