
Malaysia jadi tuan rumah Mesyuarat Meja Bulat Menteri ASEAN-China tentang Pembinaan dan Perumahan
KUALA LUMPUR – Buat julung kalinya Malaysia telah terpilih untuk menjadi tuan rumah Mesyuarat Meja Bulat Menteri ASEAN-China tentang Pembinaan dan Perumahan (ACMROCH) 2024 dari 3 hingga 5 Julai ini.
Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, program tersebut akan diadakan sempena Pameran Seni Bina, Rekabentuk Dalaman dan Pembinaan Antarabangsa ke-23 (ARCHIDEX) 2024.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, mesyuarat tersebut akan dihadiri oleh pemimpin-pemimpin dari 11 negara termasuk negara-negara ASEAN dan China.
Ujar beliau, mesyuarat itu akan membincangkan strategi meningkatkan kerjasama serantau, khususnya dalam bidang pembinaan, perumahan dan pembangunan bandar.
Tema mesyuarat tersebut adalah “Membina Masa Depan yang Mampan: Memperdalam Kerjasama ASEAN-China dalam Pembinaan dan Pembangunan Bandar untuk Kemakmuran Bersama.
“Terdapat tiga agenda utama untuk persidangan ini. Yang pertama, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG); kedua, Agenda Perbandaran Baharu; dan ketiga, Belt and Road Initiative (BRI).
“Dengan menggabungkan ketiga-tiga agenda ini, kita bertujuan untuk membina masa depan mampan untuk kemakmuran bersama di rantau ini,” kata Nga dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia bersama RTM.
Tambah Kor Ming, ACMROCH akan menganjurkan satu forum mengenai pembangunan bandar secara mampan antara pakar subjek dan pemain industri serantau.
“Kita juga akan membawa delegasi negara lain melawat pusat kewangan antarabangsa kita di Tun Razak Exchange (TRX) untuk mempromosikan pembinaan Malaysia yang bertaraf dunia,” katanya.
Mengulas mengenai kepentingan kemampanan dalam pembangunan bandar, Kor Ming berkata, jumlah populasi negara yang berpenduduk di kawasan bandar dijangka akan meningkat daripada 78 peratus hingga 85 peratus menjelang tahun 2040.
“Kadang-kala kita menghadapi bencana alam yang tidak dapat dijangkakan akibat perubahan iklim.
“Jadi, kita memerlukan pembangunan bandar yang mampan untuk keselamatan dan keselesaan semua. Kita ingin memperkenalkan teknologi terkini seperti lampu isyarat pintar (Smart Traffic Light), rumah pintar (Smart Home), dan membina bangunan hijau untuk mengurangkan pelepasan karbon.
“Melalui teknologi hijau dan senibina yang terkini, kita yakin bahawa Malaysia akan terus menerajui dalam bidang perancangan bandar secara mampan,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Kor Ming berkata, kerajaan Malaysia telah menjadi rakan strategik kepada ARCHIDEX yang dianjurkan oleh Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) dan C.I.S. Network sebagai sebahagian daripada Festival Seni Bina Kuala Lumpur.
Menurut Nga, pameran ini dijangka menarik kira-kira 40,000 pengunjung dari 100 negara dan mencatat nilai transaksi sekitar RM1 bilion.
Beliau turut menggalakkan individu yang berminat dalam seni bina, rekabentuk dalaman, dan pembinaan untuk mengunjungi ARCHIDEX di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 3 hingga 6 Julai ini.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |