Luar Negara

Nahas helikopter Presiden Iran disebabkan cuaca buruk, tiada elemen jenayah – Media tempatan

TEHRAN – Nahas helikopter yang mengorbankan Presiden Iran, Ebrahim Raisi Mei lalu didapati berpunca daripada cuaca buruk dan tidak mempunyai elemen jenayah.

Laporan media tempatan menyebut, helikopter yang membawa Allahyarham Raisi, 63, dan rombongannya melalui kawasan lereng gunung yang diselubungi kabut di utara Iran.

Agensi berita Fars, yang memetik sumber keselamatan yang maklum dengan kesimpulan siasatan itu berkata, lebihan muatan juga menyumbang kepada nahas, namun dakwaan itu segera ditolak oleh Angkatan Tentera sebagai “benar-benar palsu.”

Sumber yang dipetik oleh Fars berkata, pasukan keselamatan Iran mempunyai “kepastian mutlak bahawa apa yang berlaku adalah kemalangan.”

Tentera Iran pada Mei juga berkata, ia tidak menemukan bukti aktiviti jenayah dalam nahas itu yang turut mengorbankan menteri luar Raisi, Hossein Amir-Abdollahian.

“Kes nahas helikopter Ayatollah Raisi diselesaikan sepenuhnya oleh institusi kawal selia dan keselamatan,” lapor Fars.

“Agensi keselamatan dan perisikan menyelesaikan siasatan terperinci mereka dan ada kepastian mutlak bahawa apa yang berlaku adalah kemalangan,” tambahnya dengan memetik sumber.

Fars memberikan punca utama nahas 19 Mei kerana keadaan cuaca buruk dan ketidakupayaan helikopter untuk naik dengan penumpang tambahan melebihi protokol keselamatan.

Menurut laporan Fars, helikopter itu membawa dua penumpang melebihi kapasiti yang disyorkan apabila ia terhempas.

Tetapi Angkatan Bersenjata Iran “menolak sekeras-kerasnya” penemuan yang dilaporkan itu, dengan mengatakan dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh media kerajaan bahawa ia “diputarbelitkan dan dihinakan.”

“Apa yang disebut dalam berita Fars mengenai kehadiran dua orang di dalam helikopter yang bertentangan dengan protokol keselamatan… adalah palsu sama sekali,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button