Terkejut jumpa objek menyerupai bom mortar di rumah sewa
JASIN – Seorang wanita warga emas terkejut setelah menemukan objek menyerupai bom mortar di rumah sewanya yang tidak berpenghuni sejak tujuh bulan lalu, di Taman Bukit Tembakau, Merlimau, di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, objek menyerupai bom mortar 60 milimeter (mm) jenis Practice Inert yang digunakan dalam latihan itu ditemukan ketika jirannya membantu mengemas rumah tersebut.
Jiran tersebut kemudiannya menghantar gambar kepada warga emas terbabit sebelum wanita itu hadir membuat laporan polis pada pukul 7.58 malam hari yang sama.
Tambahnya, sepasukan polis termasuk Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka kemudiannya dihantar ke lokasi bagi kawalan keselamatan di lokasi untuk tindakan lanjut.
“UPB kemudian mengesahkan bom berkenaan adalah jenis Mortar 60mm Practice Inert yang dengan ukuran panjang 300 milimeter(mm) dan diameter 60mm.
“Kita juga mengesahkan (objek) tiada mengandungi bahan letupan dan masih mengesan bekas penyewa yang telah berpindah keluar sejak Januari lalu untuk membantu siasatan dalam kes ini,” katanya hari ini.
Objek berkenaan telah di bawa oleh UPB ke IPK Melaka untuk tindakan pelupusan.
Hasil siasatan lanjut mendapati, rumah teres setingkat itu sebelum ini didiami seorang lelaki yang bekerja di Melaka sejak 2022.
“Sejak penyewa terbabit berpindah pada Januari lalu, pemilik rumah tidak lagi menghubungi individu itu sehinggalah Sabtu lalu dia meminta jirannya itu bantu mengemas barang peribadi milik bekas penyewanya itu,” katanya lagi.