Malaysia sertai Forum Air Dunia di Bali, Indonesia
PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof akan mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Air Dunia kali ke-10 di Bali bermula 18 hingga 21 Mei ini.
Penyertaan Malaysia itu dibuat atas jemputan Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo.
Forum Air Dunia (WWF) yang diadakan setiap tiga tahun dianjurkan bersama Majlis Air Dunia (WWC) bertujuan memupuk hubungan kerjasama global dalam mengenal pasti isu-isu terkini berkaitan pengurusan air.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, penyertaan Malaysia akan melibatkan mesyuarat peringkat tertinggi bertujuan meneroka penyelesaian inovatif terhadap cabaran berkaitan air.
“Delegasi Malaysia dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Indonesia, Menteri Koordinator Bidang Kemaritiman dan Investasi, Setiausaha Konvensyen Air dan pihak-pihak berkaitan yang lain.
“Pertemuan akan membincangkan mengenai kemajuan hubungan dua hala, khususnya kerjasama akan datang untuk meningkatkan kemampanan air, berkongsi penyelesaian inovatif untuk menangani isu-isu berkaitan air di rantau ini serta secara global,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Malaysia melalui PETRA akan memberi tumpuan kepada penyelesaian inovatif untuk menangani cabaran air yang wujud, seperti perubahan corak hujan dan fenomena cuaca melampau.