BERITA SEMASA

Jualan pajakan tanah LTAT kepada AS ikut tender – Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Penjualan tanah milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di Ampang Hilir kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS) bernilai RM420 juta dilaksanakan menerusi proses tender, bukannya dibuat sewenang-wenangnya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, transaksi itu mematuhi dasar, prosedur tadbir urus LTAT serta peruntukan undang-undang berkaitan.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat.

“Memang ada tender, beberapa syarikat telah masuk dan AS telah berjaya,” katanya.

Menurut beliau, tanah berkenaan berstatus pajakan, manakala hak milik tanah kekal pada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

Justeru, transaksi itu membabitkan pembelian hak pajakan oleh kerajaan AS bagi tujuan pembinaan kedutaan baharu negara berkenaan, bukannya pemindahan hak milik tanah.

“Maknanya AS beli pajakan. Penjualan itu juga sebahagian daripada usaha mengimbangi semula portfolio aset LTAT,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Khaled berkata, Kementerian Pertahanan memandang serius perkembangan ketenteraan di Pulau Balabac, Filipina, yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Pulau Banggi, Sabah.

Beliau berkata, peningkatan kehadiran dan keupayaan ketenteraan Filipina, dengan sokongan AS, berpotensi meningkatkan ketegangan antara kuasa besar di kawasan geografi yang terhad.

Katanya, ketegangan berpanjangan atau konflik di kawasan itu berpotensi merebak ke wilayah berhampiran termasuk Sabah, walaupun Malaysia tidak terbabit secara langsung.

“Kita memberi jaminan bahawa kementerian sentiasa memantau perkembangan itu dan mengkaji implikasinya terhadap pertahanan negara.

“Kerajaan juga terus memperkukuh kehadiran dan postur pertahanan di Sabah merangkumi aspek darat, laut dan udara,” katanya.

Kenyataan itu dibuat susulan kebimbangan penduduk Sabah terhadap kerjasama pertahanan Filipina dan AS yang menyaksikan peningkatan pembangunan kemudahan ketenteraan, termasuk di Pulau Balabac, Palawan, berhampiran perairan Sabah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button