BERITA SEMASA

Lima resolusi AOX 2026 perkukuh peluang Malaysia jadi hab industri Off-Road Asia

KUALA LUMPUR – Malaysia berpotensi mengukuhkan kedudukannya sebagai hab industri pacuan empat roda (off-road) dan mobiliti pengembaraan Asia menerusi lima resolusi strategik yang diketengahkan pada Asia Offroad Expo & Convention (AOX) 2026.

Resolusi itu merangkumi aspek keselamatan jalan raya, pemuliharaan alam semula jadi, pembangunan hab pembuatan dan pengedaran, penyelarasan piawaian industri serta penerokaan teknologi mobiliti elektrik bagi membentuk ekosistem industri yang lebih mampan dan berdaya saing.

Pengasas dan Pengerusi Penganjur AOX, Thomas Foo berkata, platform itu diwujudkan untuk menyatukan pemain industri dalam usaha memajukan sektor pacuan empat roda serta memperkenalkan Malaysia sebagai hab industri dan pengembaraan di rantau ini.

“Kerjasama antara pengeluar kenderaan, pembekal peralatan, penyedia teknologi, agensi kerajaan, persatuan industri dan sektor pelancongan amat penting bagi merealisasikan potensi Malaysia dalam industri ini,”katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Lima resolusi yang diketengahkan itu melibatkan cadangan serta sumbangan daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Institut ESG Malaysia (MiESG), Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia, Victron Energy dan Surron.

Resolusi pertama yang dicadangkan MIROS memberi penekanan kepada keselamatan penggunaan kenderaan pacuan empat roda dan kenderaan pengembaraan di jalan raya awam.

Menurutnya, inisiatif itu menggalakkan pendidikan serta peningkatan kesedaran dalam kalangan pemilik kenderaan, pemandu, kelab, persatuan dan penganjur ekspedisi bagi memupuk amalan pemanduan berhemah.

“Resolusi kedua pula dicadangkan MiESG menerusi Piagam Pengembaraan Pacuan Empat Roda Bertanggungjawab dan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Asia.

“Piagam itu menekankan kepentingan menghormati kawasan perlindungan dan komuniti setempat, mengurus sisa dengan betul, mencegah pencemaran serta melindungi hidupan liar dan habitat sensitif,” tambahnya.

Usaha berkenaan bertujuan memastikan aktiviti pengembaraan dapat diteruskan tanpa menjejaskan keseimbangan ekosistem serta kepentingan masyarakat setempat.

Bagi resolusi ketiga, Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia mencadangkan pembangunan Asia sebagai hab pembuatan dan pengedaran global bagi kenderaan pacuan empat roda serta produk mobiliti pengembaraan.

Langkah itu berpotensi memperkukuh rantaian bekalan serantau menerusi kerjasama pengeluar, pengedar, pelabur dan penyedia teknologi, selain membuka peluang perniagaan serta akses kepada pasaran antarabangsa.

“Sementara itu, resolusi keempat mencadangkan pembentukan Kerangka Penyelarasan Piawaian Keselamatan, Pematuhan dan Kualiti Asia dengan Victron Energy sebagai penyumbang industri yang dicadangkan.

“Kerangka berkenaan bertujuan menggalakkan penyelarasan garis panduan teknikal, spesifikasi peralatan, kualiti produk dan amalan penyelenggaraan menerusi dialog antara pemain industri, institusi teknikal, persatuan serta pihak berkuasa,” katanta.

Resolusi kelima pula memfokuskan Pelan Hala Tuju Elektrifikasi dan Mobiliti Pengembaraan Mampan dengan Surron dinamakan sebagai penyumbang industri yang dicadangkan.

Inisiatif itu menggalakkan penerokaan teknologi mobiliti elektrik, kecekapan tenaga, infrastruktur pengecasan, keselamatan bateri dan pengurusan bateri selepas tamat tempoh penggunaannya.

Penerokaan tersebut membuka ruang kepada industri menilai penyelesaian mobiliti baharu berdasarkan keperluan pengguna, kesesuaian operasi dan ketersediaan infrastruktur sokongan.

AOX 2026 dianjurkan oleh Explorer Outfitter Sdn Bhd dari 23 hingga 25 Oktober di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), dengan menghimpunkan penggiat industri, pengeluar, pengedar, komuniti pengembaraan dan organisasi berkaitan dari dalam serta luar negara.

Majlis perasmian turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Tan Mei Shin; Pengarah Urusan Kumpulan WTC Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim; Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Kenderaan dan Biomekanik MIROS, Zulhaidi Mohd Jawi; serta Presiden MiESG, Muhammad Sarhan Ismail.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button