BERITA SEMASA

Tuanku Muhriz berkenan zahirkan Azrin Khairi sebagai Undang Luak Jelebu ke-17

KUALA PILAH – Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menzahirkan Datuk Azrin Khairi sebagai Undang Luak Jelebu ke-17 dalam istiadat di Istana Besar Seri Menanti, di sini, hari ini.

Memetik laporan Astro AWANI, Azrin menerima gelaran Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman selepas menjunjung duli dan melafazkan sembah taat setia kepada baginda.

Terdahulu, Azrin bersama isterinya, Datin Norazizan Mamat, diarak ke istana oleh lebih 200 anggota rombongan Undang Luak Jelebu dengan iringan rebana dan paluan kompang.

Istiadat diteruskan dengan Orang Empat Istana menghadap Tuanku Muhriz sambil membawa tepak sireh bagi memohon perkenan baginda untuk memulakan upacara berkenaan.

Dalam titahnya, Tuanku Muhriz bertitah penzahiran itu menandakan kesinambungan kepimpinan adat serta kelangsungan warisan dan tradisi yang sekian lama menjadi pegangan masyarakat Luak Jelebu.

Baginda turut menyatakan keyakinan bahawa Azrin mampu menggalas amanah berkenaan dengan penuh dedikasi dan kebijaksanaan.

“Keharmonian adat serta kesejahteraan anak buah hendaklah sentiasa menjadi keutamaan, manakala setiap perselisihan atau permasalahan perlu ditangani secara adil, matang dan berhemah.

“Dalam menjalankan tugas, Orang Kaya Beta hendaklah berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan serta ketetapan dan peraturan adat yang berkuat kuasa di Jelebu,” titah baginda.

Tuanku Muhriz turut menegaskan kepentingan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Institusi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, selain memastikan hubungan antara kepimpinan adat dengan baginda serta istana sentiasa terpelihara.

Menurut baginda, persefahaman berteraskan sikap saling menghormati, kepercayaan dan semangat muafakat menjadi asas penting dalam mempertahankan keluhuran adat serta memperkukuh institusi pemerintahan beraja.

Baginda turut menyeru masyarakat di Luak Jelebu, Luak-Luak Berundang dan Luak Tanah Mengandung supaya terus memberikan sokongan kepada kepimpinan adat bagi memastikan urusan berkaitan dilaksanakan dengan teratur dan penuh tanggungjawab.

“Beta berharap agar hubungan persaudaraan sentiasa dieratkan, perbezaan diselesaikan melalui perundingan dan semangat kebersamaan terus diperkukuh,” titah baginda.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud; Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz; serta Tunku Panglima Besar, Tunku Zain Al-‘Abidin.

Istiadat berkenaan turut disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, serta ketua-ketua jabatan kerajaan negeri.

Azrin, 51, mempunyai pengalaman selama 26 tahun berkhidmat dengan Telekom Malaysia dan kini memegang jawatan Pengurus Pengembangan Strategik dan Pembangunan Ekosistem Perniagaan, Unit Consumer, Wilayah Pantai Timur.

Beliau memiliki Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), selain sedang melanjutkan pengajian Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) di Open University Malaysia (OUM).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button