BERITA SEMASA

Jerebu: Pemuda UMNO Johor gesa majikan benarkan ibu bapa bekerja dari rumah

JOHOR BAHRU – Majikan disaran membenarkan ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah bekerja dari rumah (WFH) sepanjang tempoh penutupan sekolah akibat jerebu di Johor bagi mengurangkan beban mereka menguruskan keluarga.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Noor Azleen Ambros, berkata langkah itu wajar dipertimbangkan berikutan keputusan penutupan sekolah bagi melindungi kesihatan murid turut memberi kesan kepada ibu bapa yang bekerja.

Beliau berkata, ramai ibu bapa berdepan dilema apabila perlu hadir ke tempat kerja, sedangkan anak mereka terpaksa ditinggalkan di rumah tanpa pengawasan.

“Ramai ibu bapa berada dalam dilema. Mereka diwajibkan hadir ke tempat kerja, sedangkan anak-anak terpaksa ditinggalkan di rumah tanpa pengawasan. Pada masa yang sama, perjalanan harian dalam keadaan jerebu turut mendedahkan mereka kepada risiko kesihatan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pengalaman ketika pandemik COVID-19 membuktikan banyak sektor masih mampu mengekalkan produktiviti menerusi pelaksanaan WFH.

Justeru, beliau berkata, pendekatan sama wajar dilaksanakan secara sementara bagi membantu keluarga menghadapi situasi jerebu ketika ini.

Noor Azleen berkata, majikan disaran membenarkan pekerja yang mempunyai anak bersekolah bekerja dari rumah sepanjang tempoh penutupan sekolah, khususnya bagi jawatan yang bersesuaian.

Bagi pekerja yang tidak dapat melaksanakan tugas dari rumah, majikan pula disaran mempertimbangkan waktu kerja fleksibel sebagai alternatif.

“Kami yakin pendekatan ini bukan sahaja meringankan beban ibu bapa, malah dapat mengekalkan produktiviti dan meningkatkan semangat pekerja. Majikan yang prihatin akan memperoleh kesetiaan dan komitmen yang lebih tinggi daripada pekerjanya,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama semua pihak penting bagi memastikan rakyat Johor dapat menghadapi cabaran jerebu dengan selamat dan sejahtera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button