Harga runcit RON97, RON 95 tanpa subsidi turun 5 sen seliter
PUTRAJAYA – Harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing turun lima sen seliter bagi tempoh 1 hingga 7 Oktober 2026.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan hari ini berkata, harga diesel tanpa subsidi turut turun 15 sen seliter bagi tempoh sama.
Menurut MoF, penurunan itu adalah berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), susulan penyederhanaan purata harga minyak mentah dunia dalam tempoh pengiraan susulan penyambungan semula operasi saluran paip East-West Arab Saudi.
“Harga RON97 tanpa subsidi turun kepada RM5 seliter daripada RM5.05 seliter, manakala harga RON95 tanpa subsidi pula turun kepada RM4.52 seliter daripada RM4.57 seliter.
“Diesel tanpa subsidi pula berkurang kepada RM5.27 seliter berbanding RM5.42 seliter sebelum ini,” katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.
Kenyataan sama turut memaklumkan, harga petrol bersubsidi yang dikekalkan ialah RM1.99 seliter bagi RON95 (BUDI95), RM2.10 bagi diesel (BUDI Diesel), RM2.05 bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan RM2.15 bagi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
MoF seterusnya berkata, bekalan produk petroleum bertapis di Asia menunjukkan tanda pemulihan apabila eksport produk petroleum bertapis China pada September dianggarkan melebihi empat juta tan, berbanding purata kira-kira tiga juta tan sebulan pada tahun lalu.
MoF menambah, peningkatan bekalan terbabit membantu mengurangkan sebahagian tekanan terhadap harga produk petroleum serantau.
“Bagaimanapun, pemulihan bekalan global masih tidak sekata apabila sebuah lagi loji penapisan utama Rusia di Perm terpaksa menghentikan operasi selepas serangan dron Ukraine pada minggu lalu, sekali gus mengehadkan bekalan diesel dari Rusia ke pasaran antarabangsa,” kata kenyataan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








