AGAMAPMX

Anwar mahu martabat pendidikan pondok terus diangkat

PENDANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahu martabat pendidikan pondok terus diangkat dan generasi muda didekatkan dengan khazanah ilmu Islam supaya kemajuan yang dicapai dipandu iman, akhlak serta rasa tanggungjawab terhadap sesama insan.

Anwar berkata, sejarah bangsa tidak dapat dipisahkan daripada pondok dan pesantren yang terus memelihara iman, mempertahankan ilmu serta mendidik anak bangsa supaya tidak kehilangan jati diri ketika tanah air dijajah.

“Sebab itu kita mesti terus mengangkat martabat pendidikan pondok dan mendekatkan generasi muda kepada khazanah ilmu Islam kerana dunia boleh berubah sepantas mana sekalipun, kemajuan hanya membawa kebaikan apabila dipandu oleh iman, akhlak dan rasa tanggungjawab terhadap sesama insan,” katanya dalam hantaran di media sosial.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Sebarkan Salam dan Pendang Berselawat di Pondok Mujamma’ Ibnu Sunni Al-Talaqqi (MUSHTAQ), Pendang, malam tadi.

Baca juga : Peruntukan tambahan RM3 juta naik taraf institusi pendidikan Islam di Kedah – PM

Anwar berkata, beliau terharu melihat begitu ramai masyarakat hadir untuk mendengar tausiah, menuntut ilmu dan mengalunkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Katanya, beliau memilih untuk mendengar terlebih dahulu pesan para tuan guru kerana setinggi mana pun kedudukan seseorang, mereka tetap perlu merendah diri di hadapan ilmu dan menghargai pandangan golongan yang mendalami kitab serta warisan ulama.

“Selain mendalami kitab serta warisan ulama, malah memahami keresahan masyarakat dan cabaran umat,” katanya.

Perdana Menteri berkata, jasa para tuan guru yang tekun mengajar meskipun dalam serba kekurangan tidak mungkin dilupakan.

Beliau berkata, pesan mengenai hikmah dan ihsan yang disampaikan pada program itu amat dekat di hatinya kerana Islam menuntut umatnya tegas menegakkan keadilan dan menjaga amanah.

Katanya, ketegasan bagaimanapun perlu sentiasa disertai kasih sayang supaya ilmu menjadikan seseorang lebih jujur, santun ketika berbeza pandangan dan peka terhadap kesusahan orang lain.

“Mudah-mudahan Allah SWT membimbing kita menjadi umat yang teguh imannya, luas ilmunya, indah akhlaknya dan sentiasa membawa rahmat kepada seluruh masyarakat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button