Pengampunan Najib cetus persoalan kesamarataan – Hassan Karim
KUALA LUMPUR – Pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencetuskan persoalan sama ada golongan berpengaruh menerima layanan berbeza dalam sistem keadilan negara, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim.
Beliau berkata, walaupun keputusan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim itu sah dari sudut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang, ia masih boleh dipersoalkan dari aspek moral dan etika kehidupan bernegara.
Menurutnya, keadaan itu boleh menimbulkan persepsi bahawa golongan berada, ternama atau mempunyai kedudukan tertentu mendapat keistimewaan yang tidak dinikmati rakyat biasa.
“Rakyat sekarang tertanya-tanya di manakah semangat kesamarataan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan?
“Di manakah kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan yang ditegakkan di dalam Rukun Negara?” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Hassan berkata, pemberian pengampunan dan kelegaan hukuman kepada bekas Perdana Menteri yang telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah dalam kes berkaitan rasuah berskala besar boleh menimbulkan persoalan mengenai prinsip keadilan dan kesamarataan.
Katanya, persoalan itu bukan semata-mata berkaitan kesahan keputusan, sebaliknya menyentuh keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
“Jika orang berada, orang ternama dan mereka daripada golongan elit berkuasa boleh dilepaskan dari penjara dan diganti dengan tahanan di rumah dengan syarat denda RM50 juta dibayar kepada pihak berkuasa, jadi apa ada lagi pada maruah dan integriti negara Malaysia ini, jika kedaulatan undang-undang boleh ditebus dengan wang ringgit?
“Di sinilah persoalan moral dan etika muncul,” katanya.
Bagaimanapun, Hassan mengakui kuasa pengampunan merupakan prerogatif Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
Terdahulu, Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri memaklumkan, sekiranya mana-mana syarat yang ditetapkan tidak dipatuhi, pengampunan berkenaan terbatal dan Najib perlu meneruskan baki hukuman di penjara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


