JENAYAH & MAHKAMAH

Terlibat sindiket pekerjaan tidak wujud di TikTok, tiga warga China ditahan

MELAKA – Tiga lelaki warga China ditahan selepas dipercayai terlibat dengan sindiket pekerjaan tidak wujud yang menawarkan upah RM3,000 sebulan menerusi aplikasi TikTok.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 29 hingga 37 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari semalam di Melaka Raya oleh sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Azrul Mohamed berkata, sindiket berkenaan dipercayai telah beroperasi di negeri ini sejak awal Ogos lalu.

Menurutnya, suspek dipercayai berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan yang mencari mangsa menerusi TikTok, khususnya dalam kalangan warga China.

“Sindiket memperdayakan mangsa dengan menawarkan tugasan mudah seperti menekan tanda ‘like’ pada iklan dan bermain permainan dalam talian yang menjanjikan komisen atau keuntungan.

“Setelah mangsa berminat untuk melaksanakan tugasan yang diberikan, komunikasi dengan mangsa akan diambil alih oleh individu lain dalam rangkaian sindiket.

“Ahli sindiket akan meneruskan proses memperdaya sehingga mangsa melakukan transaksi kewangan,” katanya pada sidang media di IPD Melaka Tengah, di sini hari ini.

Azrul berkata, polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan berkenaan dalam serbuan tersebut.

Antara barang yang dirampas ialah sebuah komputer riba dan 23 telefon bimbit pelbagai jenama.

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti peranan ketiga-tiga suspek serta rangkaian sindiket berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button