Pemuda UMNO hormati penangguhan pertimbangan pengampunan Najib
KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menghormati keputusan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya berhubung permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketuanya, Dr Akmal Saleh, berkata pihaknya menjunjung kasih atas keputusan berkenaan, termasuk penangguhan pertimbangan permohonan pengampunan Najib untuk dibawa ke mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.
Menurut beliau, kuasa pengampunan adalah diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Justeru, proses ini mesti dihormati sepenuhnya tanpa sebarang tekanan, desakan atau campur tangan politik daripada mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan.
Dr Akmal berkata, Pemuda UMNO akan terus berpegang kepada saluran undang-undang dan Perlembagaan dalam perkara berkenaan.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya menghormati proses tersebut dan tidak mempolitikkan kuasa pengampunan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








