BERITA SEMASA

SMSS, SAS bawa pulang RM51,000 selepas julang Piala Perdana Menteri ke-51

CYBERJAYA – Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) dan Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM51,000 selepas muncul juara Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri (PPPM) Ke-51 Tahun 2026 yang berlangsung di Universiti Multimedia (MMU), di sini, hari ini.

Kemenangan itu turut menyaksikan kedua-dua sekolah mencipta sejarah sebagai penerima pertama piala baharu PPPM yang diperkenalkan bersempena ulang tahun ke-51 pertandingan berprestij tersebut.

Selain ganjaran wang tunai RM51,000, pasukan juara bagi kedua-dua kategori turut menerima piala pusingan, piala iringan dan sijil serta sebuah tablet hasil sumbangan Malaysia Energy Literacy Programme (MELP).

Bagi kategori Bahasa Melayu, SMSS menewaskan Sekolah Menengah Sains Alam Shah menerusi usul ‘Dewan ini percaya suara murid mampu memperkukuh tadbir urus sekolah’ dengan bertindak sebagai pasukan pembangkang.

Dalam kategori Bahasa Inggeris pula, SAS muncul juara selepas mengatasi Sekolah Menengah Sains Miri yang membahaskan usul ‘This House believes that schools should take on a greater share of responsibility for children’s character formation than they currently do’.

piala
Dalam kategori Bahasa Inggeris pula, SAS muncul juara selepas mengatasi Sekolah Menengah Sains Miri yang membahaskan usul ‘This House believes that schools should take on a greater share of responsibility for children’s character formation than they currently do’. – MALAYSIA TRIBUNE

Pasukan naib juara bagi kedua-dua kategori pula membawa pulang piala iringan, sijil dan hadiah wang tunai RM20,000 serta tablet sumbangan MELP.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, pengenalan piala baharu dan pertambahan nilai hadiah pada edisi kali ini menjadi antara pembaharuan penting dalam sejarah PPPM.

“Buat pertama kalinya dalam edisi ke-51 ini, piala Perdana Menteri yang baharu diberikan kepada kedua-dua pasukan yang menang dengan pertambahan nilai hadiah yang lebih tinggi.

“Kejayaan yang dicapai membuktikan pertandingan ini terus berperanan sebagai platform penting dalam mencungkil bakat bahas dan membina keyakinan murid,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan akhir di Dewan Tun Canselor MMU.

Sementara itu, Anugerah Pembahas Terbaik kategori Bahasa Melayu dimenangi Muhammad Sharin Syazwi Md Shariff, manakala Adam Rayyan Abdul Azim dari Sekolah Sultan Alam Shah dinobatkan sebagai Pembahas Terbaik kategori Bahasa Inggeris.

Kedua-dua penerima anugerah berkenaan membawa pulang wang tunai RM2,000 selain piala pusingan, piala iringan dan sijil penghargaan.

Fadhlina turut merakamkan penghargaan kepada beberapa pasukan yang berjaya mencipta kejutan sepanjang kejohanan termasuk sekolah yang kembali bersaing selepas bertahun-tahun tidak berada dalam kelompok pencabar utama.

Menurutnya, terdapat sekolah yang kembali menyerlah selepas tempoh antara 10 hingga 17 tahun dan berjaya mara sehingga ke peringkat suku akhir serta separuh akhir.

“Perkembangan ini menunjukkan semakin banyak sekolah kini berupaya melahirkan pendebat berkualiti yang mampu memberi saingan kepada pasukan lebih berpengalaman,” tambahnya.

PPPM yang memasuki usia 51 tahun pada tahun ini melibatkan penyertaan 72 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dari seluruh negara serta Maktab Tentera Diraja sebagai sekolah jemputan pada pusingan awal kebangsaan.

Daripada jumlah itu, 38 pasukan mara ke pusingan akhir kebangsaan sebelum hanya empat pasukan terbaik berjaya menempah tempat di pentas akhir bagi kedua-dua kategori pertandingan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button