BERITA SEMASA

‘Kalau reda dengan mungkar, saya dosa’ – Sanusi

BALING – Kerajaan Negeri Kedah menghormati dan akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan kebenaran merayu berhubung isu pembaharuan lesen premis perjudian.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan pendirian peribadinya untuk mencegah kemungkaran tidak berubah.

Sanusi berkata, pendiriannya itu berasaskan tanggungjawab untuk mematuhi perintah Tuhan dan bukan bertujuan menafikan hak golongan bukan Islam.

“Hati saya dengan Tuhan,” katanya ketika ditanya mengenai reaksinya susulan keputusan mahkamah pada 12 Ogos lalu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melancarkan Pecah Tanah Pembinaan Kolej Kediaman Pelajar Universiti Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) di Kuala Ketil, di sini hari ini.

Menurutnya, tindakan mencegah perkara yang dianggap mungkar tidak bermaksud kerajaan negeri mengetepikan hak masyarakat bukan Islam.

“Kalau saya reda dengan mungkar, saya dosa,” katanya memetik laporan Sinar Online.

Dalam pada itu, Sanusi berkata, kerajaan negeri akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada pasukan peguam berhubung implikasi keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan.

Katanya, penerangan itu penting bagi menentukan kesan keputusan tersebut terhadap bidang kuasa kerajaan negeri serta perkara yang masih boleh atau tidak boleh dilaksanakan.

“Ada rancangan, peguam bagi penjelasan keputusan itu dari sudut undang-undang. Saya tak bolehlah nak bagi, kan?

“Dari sudut undang-undang, saya tak ada kepakaran itu. Peguam yang akan bagi apa kesan dia, apa yang mengikat kita, apa yang boleh dan apa yang tak boleh,” katanya.

Sebelum ini, panel tiga hakim yang dipimpin Datuk Rhodzariah Bujang sebulat suara menolak permohonan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu.

Mahkamah menetapkan bahawa isu kawal selia perjudian tertakluk kepada undang-undang Persekutuan, khususnya Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Dalam keputusan itu, tindakan kerajaan negeri berkaitan penolakan pembaharuan lesen premis perjudian sebelum ini diputuskan sebagai ultra vires atau melampaui bidang kuasa serta tidak selaras dengan Perlembagaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button