PN mohon Sidang Khas Parlimen mengenai RCI Tabung Haji ditangguhkan
KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mencadangkan agar Sidang Khas Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada 11 Ogos bagi membentangkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji ditangguhkan ke tarikh lain susulan keadaan kesihatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya telah mengemukakan surat rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul bagi memohon penangguhan sidang berkenaan.
Menurut beliau, surat permohonan tersebut telah diterima secara rasmi oleh pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat hari ini.
“PN turut mendoakan agar Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri II dikurniakan kesembuhan segera serta dapat kembali menjalankan tugas seperti biasa.
“Berdasarkan perkembangan terkini melibatkan keadaan kesihatan Perdana Menteri, PN berpandangan sidang khas tersebut wajar ditangguhkan ke suatu tarikh yang lebih sesuai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Takiyuddin berkata, isu berkaitan Tabung Haji merupakan perkara yang penting dan melibatkan kepentingan awam, justeru pembentangan laporan RCI itu seharusnya dilakukan sendiri oleh Perdana Menteri.
Menurutnya, Perdana Menteri sebelum ini telah membangkitkan isu berkenaan kepada pengetahuan umum ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan walaupun laporan RCI tersebut telah tersedia sejak beberapa tahun lalu.
“Justeru, kehadiran Perdana Menteri sendiri di Dewan Rakyat untuk membentangkan dan memberikan penjelasan berhubung laporan RCI ini amat signifikan.
“Ia bukan sahaja penting dari sudut ketelusan dan akauntabiliti, malah bagi memastikan rakyat mendapat penjelasan yang menyeluruh serta komprehensif mengenai perkara yang pernah dibangkitkan oleh beliau sebelum ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








