Cukai Keuntungan Modal selari prinsip keadilan sosial
KUALA LUMPUR – Pengenalan Cukai Keuntungan Modal (CGT) sebanyak 10 peratus adalah selari dengan amalan terbaik percukaian antarabangsa dan dalam menangani isu amalan percukaian yang memudaratkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, CGT juga selari dengan prinsip keadilan sosial.
“Adalah tidak adil bahawa hanya rakyat yang makan gaji membayar cukai sementara golongan kaya yang meraih keuntungan besar hasil penjualan syarikat tidak dikenakan cukai,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Berkenaan kerisauan bahawa CGT akan menindas perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ia tidak sepatutnya timbul kerana cukai berkenaan juga tidak dikenakan ke atas individu yang melupuskan saham tidak tersenarai.
“Sekiranya individu ialah pemilik PMKS dan kemudian menjual saham miliknya, beliau tidak termasuk untuk dikenakan CGT,” kata Anwar lagi.
Sementara itu, berkenaan Cukai Barang Bernilai Tinggi yang akan berkuat kuasa mulai 1 Mei 2024, Anwar berkata pengenalan cukai ini bertujuan untuk meningkatkan hasil dengan mengenakan cukai kepada golongan kaya yang punyai kemampuan untuk membeli barang bernilai tinggi.
“Cukai ini dikenakan pada kadar lima peratus hingga 10 peratus mengikut jenis dan kategori barang berdasarkan nilai ambang (threshold) harga barang,” jelas Anwar lagi.
Berkenaan mekanisme pelaksanaan, Anwar berkata Kerajaan akan mengenalkan perundangan baharu bagi memastikan sektor pelancongan tidak terjejas, di mana membolehkan pelancong asing mendapat bayaran balik cukai (tax refund) yang dibayar oleh mereka.
Pada masa ini, Kementerian Kewangan dalam fasa akhir memuktamadkan draf perundangan.
“Mekanisme, jenis barang dan kadar cukai serta nilai ambang akan diumumkan sebaik sahaja ia diluluskan di peringkat Jemaah Menteri.” katanya.