Berita Semasa

‘Uptown Kota Damansara penuh bahan mudah terbakar’

PETALING JAYA – Kebakaran yang melanda Uptown Kota Damansara malam tadi merebak dengan pantas disebabkan kawasan itu penuh dengan bahan mudah terbakar.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon 1 Shah Alam, Ahmad Zaidi Safuan berkata, pihaknya terpaksa menggunakan teknik kepungan bagi memadamkan api.

“Keseluruhan (kawasan) Uptown (Kota Damansara) ini adalah ‘bahan bakar’, ketika pasukan penyelamat sampai api marak dengan besar dan kita terpaksa menggunakan teknik kepungan untuk padam kebakaran,” katanya.

Untuk rekod, puluhan lot gerai musnah dalam kebakaran yang melanda kawasan bazar larut malam yang popular dalam kalangan warga kota Lembah Klang, malam tadi.

Ahmad Zaidi berkata, siasatan punca kejadian yang dijalankan dijangka selesai esok.

Katanya, kawasan kebakaran tersebut akan ditutup sementara waktu sehingga siasatan selesai.

Sementara itu, seorang saksi kejadian, Mazalan Abdul Manan,53, berkata, asap tebal bermula dari sebuah gerai pada kira-kira pukul 8.15 malam..

“Melihat asap itu, saya masuk ke kawasan bazar dan lihat asap itu datang dari sebuah gerai yang terletak berhampiran dengan gimnasium saya,” katanya.

Mazalan yang mengusahakan sebuah gimnasium di lokasi kejadian berkata, api merebak dengan pantas ke gerai berhampiran dan bahagian belakang gimnasiumnya.

“Ketika itu terdapat kira-kira 15 orang sedang bersenam dalam gimnasium dan ketika api mula marak, mereka turut sama membantu saya untuk mengeluarkan alat senaman lain. Mereka turut membantu peniaga berhampiran menyelamatkan barangan perniagaan mereka daripada terbakar,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button