KKM kesan satu kes positif cacar monyet
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan telah mengesan satu kes positif mpox atau cacar monyet, semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, pesakit tersebut merupakan seorang lelaki warganegara.
Jelasnya, pesakit mula menunjukkan gejala demam, sakit tekak, dan batuk pada 11 September, manakala ruam mula muncul pada 12 September.
Justeru itu, semua kontak bagi pesakit ini sedang dikenalpasti dan status kesihatan mereka akan dipantau mengikut tatacara kendali piawai (SOP) semasa yang ketat.
“Pesakit tiada sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelum gejala timbul, kini sedang dalam isolasi, dan berada dalam keadaan yang stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Muhammad Radzi berkata, kes tersebut menjadikan ia sebagai kes positif pertama yang direkodkan pada tahun ini daripada 58 kes disyaki mpox.
“Dengan itu juga, semua 10 kes di Malaysia sejak 26 Julai 2023 sehingga kini adalah daripada clade II sahaja,” tambahnya dalam kenyataan itu.
Mengulas lanjut, Dr. Radzi berkata, bagi membolehkan orang ramai memainkan peranan dengan meningkatkan kawalan kesihatan kendiri, KKM akan meneruskan hebahan kepada orang ramai melalui pelbagai saluran media massa dan media sosial.
Katanya, individu berisiko tinggi yang bergejala mpox seperti demam, bengkak kelenjar limfa dan ruam atau lepuh perlu segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat.
Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan untuk mengelakkan diri daripada bersentuhan secara langsung dengan individu yang disyaki atau disahkan dijangkiti mpox termasuk hubungan seksual.
“Mengamalkan kawalan kesihatan kendiri seperti mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman (hand sanitiser),” ujarnya.
Untuk pengetahuan umum, mpox adalah sejenis jangkitan disebabkan oleh virus monkeypox (MPVX) dengan jangkitan berlaku melalui sentuhan rapat antara individu yang mempunyai gejala jangkitan.
Gejala mpox adalah demam berserta ruam makula papular atau ruam lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva dan juga kornea.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune