Malaysia perlukan kestabilan politik, bukan kitaran baharu penjajaran politik – Kumaresan
KUALA LUMPUR – Malaysia memerlukan kestabilan politik bagi menjamin pertumbuhan ekonomi dan keyakinan pelabur, bukannya sekali lagi terjerumus dalam kitaran penjajaran politik yang hanya mencetuskan ketidaktentuan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan berkata, kerjasama yang kembali terjalin antara UMNO dan PAS menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sememangnya merupakan sebahagian daripada amalan demokrasi.
Bagaimanapun katanya, rakyat berhak mempersoalkan sama ada penjajaran politik baharu itu benar-benar mampu mengukuhkan negara atau sekadar mengembalikan Malaysia kepada era ketidakstabilan politik.
Menurutnya, pengalaman sepanjang sedekad lalu membuktikan ketidakstabilan politik memberi kesan besar kepada ekonomi apabila kerajaan silih berganti, majoriti di Parlimen berubah-ubah dan pertukaran Perdana Menteri berlaku dalam tempoh singkat.
“Keadaan itu menjejaskan keyakinan pelabur, mengganggu kesinambungan dasar, melambatkan pelaksanaan reformasi jangka panjang serta menyebabkan syarikat menangguhkan keputusan pelaburan kerana ketidaktentuan hala tuju negara.
“Pengajaran daripada tempoh tersebut amat jelas, ketidakstabilan politik bukan sekadar masalah politik, malah merupakan masalah ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumaresan berkata, sejak penubuhan Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia menikmati tempoh kestabilan politik yang lebih baik sekali gus membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada pentadbiran, pemerkasaan ekonomi, menarik pelaburan serta melaksanakan pelbagai pembaharuan.
Menurut beliau, kestabilan itu turut meningkatkan keyakinan pelabur tempatan dan asing, dengan Malaysia terus menerima pelaburan dalam sektor strategik seperti semikonduktor, pembuatan berteknologi tinggi, tenaga boleh diperbaharui, teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
“Pelabur antarabangsa mengutamakan kestabilan, konsistensi dasar dan institusi yang diyakini.
“Pertumbuhan ekonomi tidak boleh dipisahkan daripada kestabilan politik kerana syarikat hanya akan berkembang apabila mereka yakin terhadap dasar kerajaan,” katanya.
Beliau bagaimanapun mengakui kerajaan masih berdepan pelbagai cabaran termasuk isu kos sara hidup, kemampuan memiliki rumah, kadar gaji dan mutu perkhidmatan awam yang memerlukan penambahbaikan berterusan.
Namun katanya, reformasi yang bermakna memerlukan masa, konsistensi serta tadbir urus yang stabil, manakala pergolakan politik berterusan hanya akan melambatkan penyelesaian terhadap masalah rakyat.
Sehubungan itu, beliau menegaskan sebarang pakatan politik baharu perlu dinilai berdasarkan visi dan dasar yang ditawarkan, bukannya sekadar percaturan untuk memenangi pilihan raya.
“Jika UMNO dan PAS percaya kerjasama mereka mampu menawarkan masa depan yang lebih baik kepada Malaysia, mereka perlu menjelaskan kepada rakyat apakah dasar ekonomi yang akan diperkenalkan, bagaimana pelaburan akan ditarik, bagaimana gaji dan produktiviti akan dipertingkatkan serta bagaimana institusi negara, perpaduan nasional dan kestabilan politik akan diperkukuhkan.
“Rakyat berhak menerima jawapan yang konkrit, bukan sekadar slogan politik,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa demokrasi seharusnya tertumpu kepada usaha membentuk kerajaan yang bertanggungjawab, memperkukuh institusi awam, melindungi keyakinan ekonomi dan menyatukan masyarakat majmuk, bukannya semata-mata persaingan untuk menguasai Putrajaya.
“Malaysia telah melalui pengalaman pahit akibat ketidakstabilan politik. Negara tidak seharusnya mengulangi episod tersebut.
“Masa depan negara bergantung kepada kepimpinan yang stabil, tadbir urus yang bertanggungjawab dan pengurusan ekonomi yang kukuh.
“Kuasa politik sepatutnya menjadi alat untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, bukannya matlamat itu sendiri,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
