BISNES & EKONOMI

Plenitude lancar Mandolin Residences, tawar 712 unit bermula RM326,400

JOHOR BAHRU – Plenitude Berhad hari ini mengumumkan pelancaran Mandolin Residences, sebuah pembangunan pangsapuri berservis pegangan bebas di Taman Desa Tebrau yang menawarkan 712 unit kediaman di dua menara pada harga bermula RM326,400.

Pembangunan itu menawarkan lima pilihan susun atur berkeluasan antara 528 hingga 1,017 kaki persegi, merangkumi unit studio, dua dan tiga bilik tidur serta pilihan dwi-kunci (dual key), bagi memenuhi keperluan pembeli rumah pertama, golongan profesional muda, keluarga yang sedang berkembang dan isi rumah pelbagai generasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Plenitude Berhad, Anthony Ng berkata, Mandolin Residences diinspirasikan daripada alat muzik mandolin yang menghasilkan melodi harmoni, mencerminkan gabungan elemen penting seperti lokasi strategik, kemudahan lengkap, keselamatan pintar dan persekitaran komuniti yang saling berhubung.

“Mandolin Residences terletak di dalam perbandaran Taman Desa Tebrau seluas 965 ekar yang menawarkan akses mudah kepada pelbagai kemudahan seperti AEON Tebrau City, IKEA Tebrau, Toppen Shopping Centre, Hospital Sultan Ismail, Sunway College JB serta beberapa institusi pendidikan.
“Pembangunan ini juga mempunyai jaringan perhubungan yang baik menerusi Lebuhraya Pasir Gudang, Eastern Dispersal Link (EDL) dan Lebuhraya PLUS,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagi memenuhi keperluan gaya hidup moden, beliau berkata lebih 30 kemudahan disediakan di podium Aras 6 yang dibahagikan kepada empat zon utama iaitu Aktif, Akuatik, Santai dan Sosial.

Antara kemudahan yang disediakan termasuk kolam renang, gimnasium, dewan serbaguna, ruang santai, taman permainan kanak-kanak, pusat jagaan kanak-kanak serta Sky Garden di Aras 30 bagi setiap menara,” katanya.

“Selain itu, Mandolin Residences turut menggabungkan ciri keselamatan pintar melalui sistem akses berlapis di pintu masuk, lobi, aras kediaman dan kawasan kemudahan bersama.

“Pembangunan ini mengaplikasikan elemen kelestarian seperti reka bentuk pasif untuk pengudaraan semula jadi, lampu cekap tenaga, sistem penuaian air hujan serta infrastruktur sedia untuk pemasangan pengecas kenderaan elektrik (EV),” katanya lagi.

Beliau seterusnya berkata, pembangunan Mandolin Residences mencerminkan komitmen berterusan Plenitude dalam menyediakan kediaman berkualiti dan membangunkan komuniti mampan, selain meneruskan legasi syarikat dalam pembangunan Taman Desa Tebrau yang telah lama dikenali sebagai antara perbandaran matang di Johor Bahru.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button