BERITA SEMASA

Akad nikah sah pada lafaz kelima, kisah pasangan mualaf OKU raih perhatian

KUALA LUMPUR – Kisah pasangan mualaf orang kurang upaya (OKU) yang melangsungkan perkahwinan secara sederhana menjadi perhatian ramai apabila pengantin lelaki terpaksa mengulang lafaz akad nikah sebanyak lima kali selepas tersasul menyebut nama isterinya.

Dalam majlis akad nikah yang berlangsung pada 11 Julai lalu, Amin Lai Abdullah, 56, berketurunan Cina, mengalami kesukaran menyebut nama isterinya, Siti Zaleha Abdullah, 47, kerana masalah pertuturan sehingga beberapa kali tersasul sebelum akhirnya berjaya melafazkan akad nikah dengan sempurna pada percubaan kelima.

Kisah menyentuh hati itu tular selepas dikongsikan jurugambar sambilan, Fatehah Choo, 32, menerusi platform Threads sekali gus mendapat perhatian ramai yang memuji keikhlasan dan kesederhanaan majlis berkenaan.

Pasangan itu memeluk Islam kira-kira setahun lalu.

Fatehah berkata, beliau mengenali pasangan terbabit ketika mengikuti Kursus Tahsin Solat anjuran Lembaga Zakat Selangor di Baitul Hikmah, Hulu Yam, pada 8 hingga 10 Mei lalu.

“Pengantin lelaki mempunyai masalah pelat. Ketika majlis akad nikah di pejabat agama, dia beberapa kali tersasul menyebut nama isterinya.

“Dia mencuba sebanyak empat kali tetapi masih tersasul. Pada lafaz kali kelima barulah akad nikah berjaya disempurnakan dengan sah,” katanya.

Menurutnya, majlis itu dijayakan sepenuhnya oleh rakan-rakan mualaf, khususnya Siti Nuratikah Abdullah yang juga ustazah serta pegawai program Lembaga Zakat Selangor.

Katanya, segala persiapan termasuk penyediaan makanan, hiasan pelamin dan lokasi majlis dilakukan secara gotong-royong dengan sumbangan rakan-rakan.

“Majlis mereka sangat sederhana. Kawan-kawan bergotong-royong memasak, menghias pelamin, malah meminjamkan rumah dan bilik untuk digunakan.

“Pelamin bertemakan Sarawak juga dihasilkan menggunakan bahan yang sedia ada, manakala tetamu yang hadir terdiri daripada jiran serta kenalan rapat,” katanya.

Fatehah berkata, beliau menghadiri majlis itu kerana ibu mentuanya yang juga seorang mualaf berketurunan India merupakan kenalan rapat pasangan pengantin dan pernah berkhidmat di pejabat agama.

Katanya, beliau mengambil keputusan menjadi jurugambar secara sukarela selepas mendapati pasangan berkenaan hanya merancang merakam gambar menggunakan telefon bimbit.

“Saya memang sentiasa membawa kamera bersama. Apabila melihat mereka tidak mempunyai jurugambar khas, saya terus menawarkan diri untuk merakam hari bahagia mereka.

“Saya rasa sayang jika momen bersejarah itu tidak diabadikan dengan baik, jadi saya gembira dapat membantu,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button