BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

IRC 2026 himpun pakar global bincang AI, keselamatan siber dan masa depan ekosistem digital

KUALA LUMPUR – Isu kecerdasan buatan (AI), keselamatan dalam talian, teknologi kuantum, robotik, perlindungan data, kesejahteraan digital serta pembangunan bakat masa depan bakal menjadi fokus utama International Regulatory Conference (IRC) 2026 yang akan berlangsung pada 21 hingga 22 Julai ini.

Persidangan anjuran Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu akan menghimpunkan pengawal selia, penggubal dasar, pemimpin industri, ahli akademik dan pakar teknologi dari dalam serta luar negara bagi membincangkan landskap pengawalseliaan digital yang semakin kompleks.

Ia akan dirasmikan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

MCMC dalam satu kenyataan berkata, persidangan bertemakan ‘Digital Horizons: Safeguarding, Empowering and Thriving in the Connected Age’ itu akan menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam membentuk dasar digital yang mengimbangi inovasi, keselamatan dan kepercayaan pengguna.

Irc
International Regulatory Conference (IRC) 2026 akan berlangsung pada 21 hingga 22 Julai ini di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur.

Persidangan akan dimulakan dengan ucaptama oleh Ahli Suruhanjaya MCMC, Derek John Fernandez sebelum diteruskan dengan sesi khas bertajuk ‘Balancing Safety and Freedom: How Can We Protect Minors Online Without Stifling Their Digital Growth’ yang membincangkan usaha melindungi kanak-kanak di ruang siber tanpa mengekang perkembangan dan literasi digital mereka.

Pada hari pertama, peserta akan mengikuti Dialog 1: ‘Online Safety by Design’ yang membincangkan akauntabiliti platform digital dan perlindungan kanak-kanak.

Antara panel ialah Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM, Dr Farah Nini Dusuki; Ketua Bahagian Kanak-Kanak UNICEF, Saskia Blume; Pengasas Tune Talk, Gurtaj Singh Padda; Timbalan Ketua Pengarah (Reformasi Undang-Undang), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Thiyagu Ganesan; serta Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke.

Persidangan diteruskan dengan Dialog 2: ‘Sovereign Data, Empowered Citizens’ yang memfokuskan kepada kedaulatan data, privasi dan hak pengguna.

Panel terdiri daripada Ketua Penyelesaian Awan, Penyelesaian Perusahaan Maxis, Chin Kok Loon; Ketua Pegawai Kawal Selia TNG Digital, Foo Yeong Jin; Ketua Keselamatan Ericsson, Dr. Connie McIntosh; dan Ketua Hal Ehwal Luar Sea dan Shopee Malaysia, Nik Emir Nik Mohamed Din.

Sementara itu, Dialog 3: ‘Regulatory Aspiration vs. Economic Reality’ akan mengupas keseimbangan antara dasar pengawalseliaan dan realiti ekonomi.

Panel terdiri daripada Ahli Suruhanjaya MCMC, Profesor Dr Mohamad Salmi Mohd Sohod; Pengerusi Eksekutif ISIS Malaysia, Datuk Profesor Dr Mohd Faiz Abdullah serta Timbalan Ketua Pengarah Infocomm Media Development Authority (IMDA) Singapura, Aileen Chia.

Hari pertama diakhiri dengan Dialog 4: ‘AI and the Humanities’ yang membincangkan potensi, cabaran serta implikasi AI terhadap masyarakat dan bidang kemanusiaan.

Panel membabitkan Hazremi Hamid daripada Sekretariat ASEAN; Pengarah AI dan Transformasi Data PwC Consulting Asia Tenggara, Victoria Wymark; Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Pengajaran dan Kurikulum Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Ts Dr Muhd. Helmi Norman serta Ketua Bahagian Teknologi dan Perkhidmatan Pra-Emptif CyberSecurity Malaysia, Fazlan Ahmad.

Pada hari kedua, Dialog 5: ‘Quantum Technology and Communication’ akan memberi tumpuan kepada potensi teknologi kuantum dalam sektor komunikasi.

Panel terdiri daripada Dr Yap Yung Szen dari Jabatan Fizik, Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Sufian Jusoh; Profesor Dr Raymond Ooi dari Universiti Malaya; serta Ketua Jualan IBM Quantum bagi Asia Pasifik dan Jepun, Rizwan Hussain.

Dialog 6: ‘Regulating the Robotics Revolution’ pula membincangkan keperluan rangka kerja pengawalseliaan bagi pembangunan robotik merentas pelbagai sektor.

Panel terdiri daripada Pengurus Negara AGI Bot, Steven Ding; Ketua Pegawai Eksekutif Pulsy Technologies, Ts K Nantha Kumar dan Pensyarah Kanan Jabatan Kecerdasan Buatan, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Malaya, Dr Zati Hakim Azizul Hasan.

Bagi Dialog 7: ‘Digital Dependency and Human Autonomy’ fokus diberikan kepada kesan teknologi terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan masyarakat.

Panel terdiri daripada Pengasas RELATE Malaysia, Dr Chua Sook Ning; Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Mediha Mahmood serta Pakar Psikologi Klinikal merangkap Pensyarah Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr Lai Siew Tim.

Seterusnya, Dialog 8: ‘Regional and Global Regulatory Collaboration’ akan membincangkan kerjasama serantau dan antarabangsa dalam menangani cabaran digital.

Panel terdiri daripada Ketua Perancangan Strategik dan Keahlian merangkap Penasihat Khas kepada Setiausaha Agung Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Sulyna Abdullah serta Pengarah Kanan Hal Ehwal Serantau Asia Pasifik, Internet Society (ISOC), Noelle de Guzman.

Dialog 9: ‘Innovation Driven Autonomous Ecosystems and Industry Transformation’ pula memfokuskan kepada transformasi industri berasaskan inovasi dengan penjagaan kesihatan digital sebagai antara bidang utama.

Panel terdiri daripada Timbalan Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Vivek Jason Jayaraj; Ketua Platform Inovasi Perusahaan U Mobile, Junaida Abdullah; Pakar Penyelesaian Vertikal Kanan Huawei Malaysia, Nicholas Yong serta Ketua Pembangunan Strategik Antarabangsa Cloud Solutions, Joseph Walker.

Persidangan akan diakhiri dengan Dialog 10: ‘Progressive Talent, Digital Skills and Future Workplace’ yang membincangkan pembangunan bakat, kemahiran digital dan dasar tenaga kerja masa depan.

Panel terdiri daripada Pengarah Lembaga Pengarah merangkap Naib Presiden Persekitaran Perniagaan Huawei Malaysia, Eric Du; Pengarah Pinnacle Connexion, Khim Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif Badan Penyelarasan TVET Industri-Kerajaan (GITC), Ts Br Jamil Bakri.

Rumusan keseluruhan persidangan akan disampaikan oleh Sulyna Abdullah daripada Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).

Menurut MCMC, IRC 2026 dijangka memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab perbincangan dasar digital di peringkat serantau dan antarabangsa, sekali gus menyokong aspirasi negara dalam membina ekosistem digital yang selamat, inklusif, berdaya tahan dan mampan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button