Panglima ATM, KPN terima darjah kebesaran Kedah bergelar Datuk Seri Pahlawan
ALOR SETAR – Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail antara penerima utama darjah kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ke-84 yang berlangsung di Istana Anak Bukit, hari ini.
Malek Razak mengetuai senarai penerima selepas dikurniakan Darjah Dato’ Seri Setia Pahlawan Yang Amat Dihormati (SSPK) yang membawa gelaran Datuk Seri Pahlawan. Mohd Khalid turut menerima darjah kebesaran yang sama.
Dalam majlis pengurniaan itu, Datuk Syed Khairol Anuar Syed Abidin dan Datuk Tan Hong Eng masing-masing dianugerahkan Orang Besar Enam Belas yang membawa gelaran Datuk Jaya Perkasa dan Datuk Jaya Dermawan.
Sementara itu, dua individu menerima pengurniaan Orang Besar Tiga Puluh Dua iaitu Datuk Mohamad Che Nai yang membawa gelaran Dato’ Johan Bakti serta Datuk Seri Boon Som Inom yang dikurniakan gelaran Dato’ Biram Jaya.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Zubir Ahmad pula menerima Darjah Dato’ Setia Sultan Sallehuddin Kedah (DSSS) yang membawa gelaran Datuk.
Seramai empat penerima dikurniakan Darjah Dato’ Setia Diraja Kedah (DSDK) yang turut membawa gelaran Datuk, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman (SADA), Radzuan Osman; Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya; Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban; dan Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Dr Abdul Salim Tajudin.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah pula dianugerahkan Darjah Dato’ Setia Pahlawan (DDSP) yang turut membawa gelaran Datuk.
Selain itu, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria dan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden menerima Darjah Setia Sultan Sallehuddin Kedah (SSS).
Darjah Setia Diraja Kedah (SDK) pula dianugerahkan kepada sembilan individu, antaranya Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Syeikh Mohamad Subhi Abdullah; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Maznim Ismail; dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Kedah, Ir. Mohd Fisal Ismail.
Pada majlis sama, Sultan Kedah turut memperkenankan penganugerahan Ahli Mahkota Kedah (AMK) kepada 31 penerima dan Ahli Setia Pahlawan (ASP) kepada lima penerima.
Baginda juga berkenan mengurniakan Bintang Perkhidmatan Cemerlang Kedah (BCK) kepada 31 penerima, Bintang Kebaktian Masyarakat (BKM) kepada 43 penerima, Ahli Cemerlang Semangat Jerai Kedah (ASK) kepada lima penerima, Pingat Perkhidmatan Cemerlang Kedah (PCK) kepada 55 penerima, Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada 40 penerima serta Pingat Perkhidmatan Lama (PPL) kepada 15 penerima.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















