Dakwaan 300 ahli MIC sertai PH propaganda murahan – Subramaniam
SEREMBAN – Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Datuk Seri Dr S Subramaniam menyangkal dakwaan kononnya berlaku peralihan besar sokongan masyarakat India di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lui daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH).
Subramanian berkata, bagi BN, kepercayaan rakyat tidak diukur melalui propaganda atau gimik politik, sebaliknya melalui rekod perkhidmatan.
“Di Parlimen Jelebu, kepimpinan Datuk Seri Jalaluddin Alias sebagai Ahli Parlimen telah membuktikan komitmen yang konsisten dalam membangunkan kawasan serta membela kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan agama, dengan sokongan penuh seluruh kepimpinan BN termasuk Datuk Razi.
“Bagi MIC, perjuangan membela masyarakat India terus diperkasakan di bawah kepimpinan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, saya serta Ketua MIC Bahagian Jelebu, saudara Mahendran,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, komitmen khidmat, bantuan dan pembelaan kepada masyarakat India di Parlimen Jelebu akan diteruskan secara konsisten, bukannya bersifat bermusim.
Mengulas dakwaan kononnya 300 ahli MIC di Felda Lui Timur telah menyertai PH, beliau menegaskan bahawa rakyat kini lebih matang dan tidak mudah terpedaya dengan propaganda murahan.
“Apa yang dipertontonkan hanyalah beberapa keping gambar melibatkan beberapa individu bersama seorang pemimpin PH, namun tiba-tiba muncul angka 300 ahli MIC seolah-olah sekeping gambar mampu melahirkan ratusan ahli baharu.
“Kalau benar seramai itu telah menyertai PH, mana senarai mereka? Mana majlis rasmi? Mana bukti keahlian yang boleh disahkan? Atau adakah hari ini sekeping gambar di media sosial sudah cukup untuk dijadikan bukti berlakunya gelombang besar?
“Lebih menghairankan, individu yang berada dalam gambar tersebut hanyalah beberapa ahli jawatankuasa kuil yang sememangnya mempunyai hubungan persahabatan dengan pemimpin PH berkenaan,” ujarnya.
Tegas beliau, hubungan persahabatan tidak seharusnya dijadikan kayu pengukur kepada sokongan politik.
Beliau turut mengingatkan agar mana-mana pihak tidak menggunakan gambar tersebut bagi mencetuskan naratif palsu kononnya seluruh masyarakat India di Felda Lui Timur telah meninggalkan MIC dan BN.
Mengulas dakwaan penyertaan 60 ahli MIC di Air Hitam ke dalam PH, beliau menyifatkan perkara itu sebagai mengelirukan.
Menurutnya, imej yang tular hanyalah melibatkan seorang bekas Pengerusi Cawangan MIC yang telah lama melepaskan jawatan atas faktor usia dan kesihatan.
“Jika benar beliau berjaya membawa 60 ahli MIC menyertai PH, mengapa hanya seorang sahaja yang kelihatan? Kalau benar jumlah itu wujud, sudah tentu sekurang-kurangnya beberapa orang lagi boleh tampil bersama.
“Janganlah angka begitu besar hanya muncul dalam kenyataan media, tetapi ghaib apabila tiba masanya untuk dibuktikan,” katanya.
Subramanian berkata, individu berkenaan yang sebelum ini menerima pelbagai sokongan serta bantuan daripada MIC dan BN, kini dipergunakan dalam pementasan politik bagi mewujudkan persepsi kononnya sedang berlaku kebangkitan besar dalam kalangan masyarakat India.
“Itu hak beliau sebagai seorang individu, namun cubaan membesar-besarkan keputusan peribadi seseorang sehingga digambarkan sebagai penghijrahan besar-besaran masyarakat India hanya memperlihatkan betapa terdesaknya pihak tertentu membina naratif politik melalui persepsi, bukannya realiti.
“Justeru, usahlah mana-mana pihak cuba mengangkat diri sebagai wira masyarakat India hanya berbekalkan beberapa keping gambar dan dakwaan yang tidak disokong bukti yang jelas,” tambahnya.
Beliau menegaskan, masyarakat India kini semakin matang dalam menilai antara jasa dan khidmat yang telah terbukti, berbanding janji politik menjelang musim pilihan raya.
“MIC Bahagian Jelebu akan terus bekerja, terus berkhidmat dan terus mempertahankan kepentingan masyarakat.
“Kami tidak berminat melayan politik persepsi kerana akhirnya rakyat akan membuat keputusan berdasarkan rekod perkhidmatan, bukannya publisiti dan gimik politik,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














