BERITA SEMASA

FHMAPK 2026: Deep Skull, Pinakol antara tarikan reruai Muzium Sarawak, Sabah

JOHOR BAHRU – Warisan bukan sekadar tinggalan masa lalu, sebaliknya naskhah hidup yang terus menceritakan perjalanan manusia.

Itulah pengalaman dibawa reruai Jabatan Muzium Sarawak dan Muzium Sabah pada Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (FHMAPK) 2026 yang berlangsung di Padang Akasia, Pusat Beli-belah Angsana, di sini.

Berusia lebih satu abad, Jabatan Muzium Sarawak bukan sekadar menjadi gedung penyimpanan artifak malah muncul sebagai benteng pemeliharaan khazanah sejarah dan budaya yang kini mendapat pengiktirafan di pentas antarabangsa.

prn johor
Penolong Pegawai Tadbir Jabatan Muzium Sarawak, Haizul Azizi Rambli.

Menghimpun khazanah sejarah negeri kepada menerajui diplomasi budaya global, institusi muzium Bumi Kenyalang membuktikan warisan mampu menjadi jambatan yang menghubungkan masa silam dengan masa depan.

Kisah transformasi itu dipaparkan menerusi pameran sementara Jabatan Muzium Sarawak yang mengajak pengunjung menelusuri perjalanan panjang institusi berkenaan.

Penolong Pegawai Tadbir Jabatan Muzium Sarawak, Haizul Azizi Rambli berkata, sejak penubuhannya, ia memainkan peranan sebagai pusat pengumpulan koleksi utama yang merakam sejarah, budaya, alam semula jadi dan kepelbagaian etnik Sarawak.

prn johor
Antara artifak menarik minat pengunjung adalah Deep Skull yang berusia 40,000 tahun.

“Setiap artifak yang dipamerkan bukan sekadar tinggalan sejarah sebaliknya menjadi saksi perkembangan tamadun serta identiti unik bumi Kenyalang.

“Bahkan, antara artifak menarik minat pengunjung adalah Deep Skull berusia 40,000 tahun yang merupakan penemuan arkeologi utama di Gua Niah.

“Penemuan tersebut membuktikan tamadun manusia sudah lama wujud di negeri Sarawak,” ujarnya.

Selain itu, dia menjelaskan, peranan muzium terus berkembang mengikut arus zaman bermula pada era pemerintahan Brooke dan pentadbiran kolonial sebelum memasuki fasa baharu selepas pembentukan Malaysia.

Katanya, ia berdiri sebagai antara institusi warisan paling berpengaruh di negara ini dengan mandat yang jauh lebih luas dalam memelihara khazanah sejarah dan budaya.

prn johor
Reruai pameran Muzium Sabah pula mengangkat seni kraf manik tradisional masyarakat Rungus yang dikenali sebagai Pinakol.

Haizul Azizi menambah, melalui reruai berkenaan, pengunjung dapat melihat Ordinan Warisan Sarawak yang menyediakan kerangka perundangan bagi melindungi tapak bersejarah, artifak, warisan budaya serta khazanah arkeologi negeri daripada ancaman kemusnahan serta kehilangan.

“Memasuki abad ke-21, Jabatan Muzium Sarawak menjalin hubungan antarabangsa, diplomasi budaya dan kolaborasi penyelidikan yang utuh sehingga meraih pengiktirafan antarabangsa yang meletakkan warisan Sarawak sebaris institusi terbaik dunia,” ujarnya.

Dalam pada itu, reruai pameran Muzium Sabah pula mengangkat seni kraf manik tradisional masyarakat Rungus yang dikenali sebagai Pinakol.

Pinakol dihasilkan menggunakan teknik anyaman manik halus yang memerlukan tahap ketelitian, kesabaran dan kemahiran tinggi.

prn johor
Seorang pengunjung cilik teruja melihat hasil kesenian tradisi pada pameran berkenaan.

Setiap butir manik disusun satu demi satu bagi membentuk corak yang kemas, simetri dan mempunyai nilai estetika tinggi.

Lebih menarik, setiap motif pada Pinakol bukan dicipta secara sembarangan tetapi diinspirasikan daripada alam semula jadi seperti tumbuhan, haiwan dan unsur persekitaran yang dekat dengan kehidupan masyarakat Rungus.

Selain itu, ia turut dipengaruhi adat, kepercayaan serta kisah-kisah yang diwariskan oleh generasi terdahulu.

Keunikan inilah yang menjadikan Pinakol lebih daripada sekadar aksesori atau perhiasan diri kerana setiap hasil anyaman membawa identiti budaya dan penceritaan tersendiri.

prn johor
Setiap motif pada Pinakol bukan dicipta secara sembarangan tetapi diinspirasikan daripada alam semula jadi seperti tumbuhan, haiwan dan unsur persekitaran.

Ia sekali gus mencerminkan hubungan erat masyarakat Rungus dengan alam serta warisan nenek moyang mereka.

Kedua-dua Jabatan Muzium Sarawak dan Sabah menjadi lambang kebanggaan negeri serta negara, membuktikan warisan bukan sekadar untuk dikenang tetapi perlu dipelihara, dikaji dan dikongsi agar terus hidup serta dihargai oleh generasi akan datang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button